KUALA LUMPUR - Bagi memastikan wabak Covid-19 mampu dikawal, Belanjawan 2021 dilihat sebagai harapan buat rakyat dalam menyediakan agihan dana terbesar terhadap usaha pencegahan dan rawatan pandemik itu, yang dijangka terus melanda negara sehingga beberapa tahun akan datang.
Peruntukan yang besar dan signifikan perlu diberikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), demi kelangsungan usaha membendung penularan wabak itu selain meningkatkan keupayaan KKM dalam berdepan kesan jangka panjang pasca Covid-19 terhadap kesihatan awam.
Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus berkata, langkah pencegahan Covid-19 seperti pembelian vaksin, memerlukan dana besar bagi memastikan negara mendapat vaksin yang berkesan, selamat serta mencukupi untuk rakyat.
Peruntukan kewangan juga, katanya harus meliputi usaha merawat pesakit termasuk penyediaan alatan perubatan yang lebih banyak dan fasiliti kesihatan yang berkualiti.
"Peralatan perlu ditambah dan fasiliti kesihatan sedia ada perlu dinaik taraf kerana kita mungkin berdepan gelombang baharu lagi selepas ini.
"Ini juga sebagai persediaan berdepan kemungkinan wabak lain pada masa akan datang, selain melancarkan pengurusan dan rawatan penyakit atau isu kesihatan sedia ada," katanya kepada Bernama.
Dr Ahmad Faizal juga menyarankan agihan belanjawan yang signifikan kepada kementerian lain yang mempunyai sektor kesihatan dan perkhidmatan petugas barisan hadapan seperti Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Beliau turut mencadangkan, agar kerajaan mempertimbangkan peruntukan dana khas kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya yang berkaitan bidang kesihatan bagi membantu KKM di lapangan, sejajar menggunakan pendekatan seluruh jentera kerajaan dan masyarakat dalam memerangi penularan Covid-19.
Tambah beliau, Belanjawan 2021 juga harus memberi tumpuan kepada meningkatkan kemampuan sumber manusia dalam bidang kesihatan dan perubatan.
"Lebih banyak perjawatan tetap di semua peringkat dari jururawat sehingga doktor pakar perlu diwujudkan, selain menyediakan latihan bagi memastikan kakitangan kesihatan lebih terlatih dan berkualiti," katanya.
Senada dengan Dr Ahmad Faizal, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Profesor Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata, persatuan itu masih menantikan peningkatan jumlah pengambilan jawatan tetap dengan KKM kerana terdapat kekurangan jawatan untuk doktor junior, jururawat dan paramedik.
Beliau juga berkata, banyak kemudahan dan jabatan baharu serta sedia ada tidak dapat beroperasi kerana kekurangan modal insan.
"MMA berharap kerajaan juga akan memberikan kontrak lanjutan selama 10 tahun untuk pegawai perubatan mengambil pengkhususan dalam program sarjana (UD43/44 selama dua tahun dan UD47/48 selama 8 tahun) sebaik mereka layak menjadi pakar dan boleh ditawarkan jawatan tetap gred UD54,” katanya.
Belanjawan 2021 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat (6 November) ini.- Bernama