SHAH ALAM - Belanjawan 2021 perlu mengembalikan semula inisiatif #MalaysiaKerja yang telah ditamatkan pada Julai lalu bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berkata, program bernilai RM6.5 bilion itu diperkenalkan dalam Bajet 2020 bagi mewujudkan 350,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia dalam jangka masa lima tahun.
"Program Malaysia@Work ini juga dikenali sebagai #MalaysiaKerja adalah pakej rangsangan yang akan memberikan insentif upah kepada pekerja dan insentif pengambilan pekerja.
"Ia dilancarkan kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyedari perlunya mewujudkan peluang pekerjaan lebih baik untuk belia dan wanita sambil mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerusi satu surat dari Kementerian Kewangan pada 27 Julai lalu memaklumkan inisiatif itu terpaksa ditamatkan susulan penularan wabak pandemik koronavirus (Covid-19).
Bagaimanapun beliau berpandangan bahawa kerana krisis Covid-19 yang melanda, #MalaysiaKerja dilihat lebih relevan.
Ini kerana, katanya, ramai rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan di mana kadar pengangguran rasmi meningkat dari 3.3 peratus pada 2020 kepada 4.7 peratus hari ini yang melibatkan lebih daripada 740,000 rakyat Malaysia.
"Pada bulan Mac, Persekutuan Pekerjaan Malaysia telah menganggarkan bahawa kadar pengangguran mungkin mencecah setinggi 13 peratus disebabkan oleh krisis ekonomi yang disebabkan oleh Covid-19.
"Angka-angka ini tidak memperhitungkan masalah kekurangan pekerjaan lain yang memburukkan lagi keadaan," katanya.
Beliau berkata, pengembalian semula inisiatif #MalaysiaKerja adalah salah satu daripada enam tuntutan utama PH kepada Kementerian Kewangan untuk membentangkan Belanjawan Perpaduan kali ini.
Menurutnya, memandangkan keadaan ekonomi negara dan global, Belanjawan 2021 mesti melebihi dan seterusnya apa yang diumumkan pada 2020 termasuk pemberian subsidi gaji bagi syarikat-syarikat yang terjejas oleh krisis ini.
"Kegagalan mengadopsi #MalaysiaKerja dan langkah-langkah tambahan lain untuk melindungi dan meningkatkan pekerjaan akan menjadikan Belanjawan 2021 sebagai kegagalan besar bagi kesejahteraan ekonomi rakyat Malaysia," katanya.