JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin Wilayah 2 (PPMW2) menahan seorang lelaki warganegara Pakistan dipercayai aktif menjadi pengedar rokok seludup di sekitar Simpang Renggam, Kluang.
Komander PPMW2, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan kira-kira jam 2 petang di satu lokasi berhampiran bandar Simpang Renggam, di sini, semalam.
Iklan
Iklan
Menurutnya, tangkapan tersebut berjaya dilakukan hasil makluman dan risikan selama beberapa hari oleh Unit Risikan Marin (URM) PPMW2.
"Suspek ditahan ketika sedang memunggah sejumlah rokok pelbagai jenama ke dalam sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna hitam.
"Pemeriksaan lanjut juga mendapati kesemua rokok itu adalah rokok tidak sah atau dikenakan cukai dipercayai diseludup," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Paul berkata, berdasarkan daripada semakan kesemua rokok termasuk kenderaan dipandu suspek itu dianggarkan bernilai RM103,775.
Suspek kini diperintahkan menjalani reman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang yang dilarang pengimportannya.
Katanya, suspek juga akan disambung reman selama 14 hari bermula hari ini kerana kesalahan di bawah Akta Imigresen.