SHAH ALAM - Perancang Kewangan Berlesen, Suzardi Maulan menasihatkan rakyat di negara ini membuat pinjaman dan pembiayaan Amanah Saham Bumiputera (ASB) mengikut kemampuan dan ukur baju di badan sendiri untuk mengelakkan diri daripada terbeban dengan masalah kewangan pada masa akan datang.
Menurutnya, rakyat perlu faham mengenai kelayakan dan kemampuan untuk membayar balik pinjaman yang dilakukan berikutan pendapatan yang diperoleh perlu membiayai kos-kos lain yang mereka perlu langsaikan seperti membayar ansuran kereta, taska anak-anak dan sebagainya pada setiap bulan.
Suzardi berkata, sekiranya menggunakan 30 peratus daripada gaji hanya untuk membiayai pinjaman ASB adalah sudah di luar kemampuan dan ia merupakan tindakan yang tidak wajar.
"Contohnya, jika membuat pembiayaan ASB berjumlah RM200,000 dan perlu komited untuk membayar pembiayaan RM1,000 sebulan. Jika empat tahun lalu, pasaran saham adalah terbaik tetapi kini, keadaan tidak menentu.
"Mereka perlu tanya pada diri sendiri, mampu atau tidak untuk mengekalkan pembayaran RM1,000 pada setiap bulan. Sekiranya wang tidak mencukupi, ia memberikan kesan yang besar kepada pengurusan kewangan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Edisi 205 yang bertajuk Pembiayaan ASB: Berbaloi Atau Tidak? yang diadakan di Karangkraf semalam.
Wacana itu juga turut menampilkan Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia dan Pengasas Akademi Nazarry Rosli, Nazarry Rosli dan dikendalikan oleh Herleena Pahlavy.
Menurutnya, mereka juga perlu membuat pengiraan meliputi senario (keadaan ekonomi) yang baik dan buruk sebelum membuat pembiayaan pinjaman.
"Kita menasihatkan mereka secara konservatif supaya mereka jangan terlalu optimis kerana pelaburan memberikan pulangan tidak menentu ada naik dan turun,” katanya.
Suzardi menegaskan membuat penyimpanan di ASB masih memberikan keuntungan berbanding pembiayaan ASB yang mempunyai risiko dan kos tambahan.
"Apa yang perlu difahami ialah kos pembiayaan dan penilaian bergantung kepada apa yang kita dapat kerana ia ada naik dan turun. Khususnya kepada mereka yang menjual produk pembiayaan ASB, mereka perlu bercerita apa sahaja risiko yang terlibat.
"Jika tahun-tahun sebelum ini, pengiraan yang mereka lakukan ialah lapan peratus manakala pembiayaan yang sebenarnya kini adalah lima peratus. Masalahnya, peminjam akan menganggap mereka akan memperoleh (dividen) sebanyak lapan peratus untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata, anggapan peminjam yang sedemikian memberikan masalah kerana mereka perlu tahu anggaran lapan peratus itu tidak akan kekal.
"Apabila kita hanya bercerita yang baik dan tidak mengambil kira mengenai risiko-risiko dividen yang rendah akan menyebabkan peminjam menganggap ASB tidak mempunyai risiko dan dia akan menggunakan kaedah ‘rolling’ dividen," katanya.
Suzardi berkata, ASB itu sendiri sejak awal penubuhannya telah membantu Melayu khususnya bumiputera untuk menabung.
Katanya, peminjam pembiayaan ASB yang terkesan dengan keadaan ekonomi akibat koronavirus (Covid-19) perlu ke bank kerana kita tidak tahu pada bulan November atau Disember akan berlaku lagi gelombang seterusnya.
"Mereka perlu hubungi pihak bank dan ASB untuk dibantu dan distruktur semula dan jangan hanya duduk di rumah sahaja. Mereka juga dinasihatkan tidak perlu mengambil keputusan untuk menutup akaun ASB kerana kita perlu tunggu pada akhir Disember ini,” katanya.
Pembiayaan ASB jadi pilihan utama
Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia dan Pengasas Akademi Nazarry, Nazarry Rosli menegaskan pembiayaan dan pelaburan di ASB adalah terbaik dan menjadi pilihan utama rakyat kerana memberikan pulangan berbanding pihak lain.
Menurutnya, berbaloi atau tidak meminjam dengan bank untuk melabur dalam ASB bergantung kepada asas iaitu kadar pinjaman kadar bunga lebih tinggi daripada dividen yang dapat.
"Konsep secara paksa ialah peminjam mendapat pulangan dividen yang kurang. Jika menyimpan (ASB) tetapi hidup dalam kesusahan, lebih baik ASB itu dijual semula,” katanya.
Nazarry berkata, pembiayaan ASB merupakan peluang dan ruang kepada Melayu yang tidak sistematik dan disiplin untuk menyimpan wang secara bulanan.
"Pembiayaan ASB mempunyai konsep menyimpan secara paksa tetapi kadar bunga yang perlu dibayar kepada pihak bank tinggi berbanding dividen yang dapat. Ia merupakan cabaran dalam pasaran saham. Pasaran saham lebih memahami pasaran semasa, ia bukanlah isu kerajaan tetapi ditentukan oleh keadaan negara dan dunia.
"Ia menjadi cabaran, Permodalan Nasional Berhad (PNB) perlu membantu peminjam dan pelabur kerana khidmat kaunseling yang betul supaya mereka tidak menjual balik dan kemudiannya mengalami kerugian kerana tidak cukup untuk membiayainya,” katanya.
Nazarry berkata, peminjam memerlukan khidmat nasihat daripada profesional untuk memahami perkara sebenarnya mengenai pelaburan mereka meskipun dalam keadaan yang sukar.
Menurutnya, pada peringkat awal lagi, peminjam perlu diberitahu apakah risiko yang diambil dan mereka tidak seharusnya diceritakan mengenai keuntungan sahaja.
"Kalau hanya digembar-gemburkan boleh membayar sahaja, sekarang ia menjadi isu tidak boleh ‘cover’, menjadi isu negara, siapa yang nak ‘handle’ perkara ini,” katanya.
Beliau berkata, sejak dua tahun kebelakangan ini, di Malaysia saham-saham baharu dan lama mempunyai cabaran untuk mendapat pendapatan yang bagus.
Katanya, rakyat yang berdepan dengan masalah kewangan berikutan Covid-19 tidak boleh berdiam diri tetapi perlu bertindak segera dengan berjumpa pihak bank untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik.