KOTA KINABALU - Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Sabah sedang melakukan rundingan dengan kerajaan negara jiran untuk proses penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam tahanan Pusat Tahanan Sementara (PTS) di negeri itu.
Ia bagi mengurangkan jumlah tahanan di PTS yang hanya mampu menampung seramai 6,750 PATI.
Pengarahnya, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, keengganan negara jiran khususnya Filipina dan Indonesia untuk menerima tahanan warganegara mereka menjadi punca PTS di Sabah sukar mengurangkan jumlah PATI yang ditahan.
"Ketika ini negara jiran tidak mahu menerima tahanan warganegara masing-masing kerana mereka juga terpaksa menutup sempadan bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) di sana.
"Bagaimanapun, kami dalam usaha untuk membuat rundingan dengan kedua-dua kedutaan ini (Filipina dan Indonesia) supaya mereka menerima tahanan warganegara mereka yang telah disahkan bebas Covid-19 bagi tujuan mengurangkan kapasiti tahanan di semua PTS," katanya ketika hadir melakukan pemantauan di PTS Kota Kinabalu di Manggatal, dekat sini hari ini.
Beliau turut berkata, hasil rundingan dengan kedua-dua pihak kedutaan sebelum ini, pihaknya berjaya menghantar balik kira-kira 3,000 tahanan Filipina dan lebih 1,000 tahanan Indonesia.
"Bagaimanapun apabila gelombang kedua (Covid-19) melanda negara ini baru-baru ini, mereka mula menutup semula sempadan.
"Jadi kita buat rundingan bersama pihak kedutaan bermula Mei lalu dan mereka bersetuju apabila Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengumumkan untuk menerima 5,300 tahanan warganegara mereka dengan syarat semua tahanan mesti telah menjalani ujian calitan dan disahkan negatif Covid-19," katanya.
Dalam pada itu, Sharifah berkata, jumlah keseluruhan tahanan yang ada di PTS Tawau dan Kota Kinabalu ketika ini ialah seramai 5,329 orang.
"Paling ramai 86 peratus adalah dari Filipina, 12 peratus dari Indonesia dan selebihnya dari negara lain seperti Vietnam, Thailand, China serta Pakistan.
"Beberapa langkah juga telah diambil oleh kerajaan agar tiada lagi kemasukan tahanan baharu di PTS Sabah termasuk arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menangguhkan semua prosiding mahkamah.
"Semua tahanan yang ditempatkan di PTS sebelum ini adalah dalam kalangan mereka yang kita panggil banduan dagang iaitu yang tidak memiliki dokumen untuk ditahan sementara menunggu pengusiran dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata, keadaan PTS di Sabah masih terkawal dan pihaknya juga telah membuat beberapa perancangan bagi memastikan PTS mampu menampung tahanan.
"Kita telah mendapat lapan dewan di seluruh negeri ini untuk tujuan dijadikan pusat kuarantin bagi tahanan PTS.
"Kita juga akan meneruskan rundingan dengan pihak kedutaan negara berkaitan untuk meyakinkan mereka, sekiranya kes Covid-19 sudah melandai, kita akan memulakan penghantaran tahanan ke negara masing-masing.
"Buat masa ini kita masih boleh menampung tahanan di PTS, sebagai contoh di PTS Kota Kinabalu, kita ada dua blok simpanan untuk dijadikan sebagai blok pengasingan, begitu juga dengan PTS di Tawau," katanya.