SHAH ALAM - Tidak serik! Walaupun sudah beberapa kali diserbu dan dikenakan tindakan, pemilik premis menjual barangan tiruan di Jalan Taiping Klang dilihat masih degil meneruskan operasi haram mereka.
Terbaru, premis itu diserbu sekali lagi semalam bersama dua lagi premis lain di kawasan Klang serta U3, Shah Alam selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Negeri (KPDNHEP) Selangor menerima aduan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata, menerusi tiga serbuan itu pihaknya merampas 410 unit barangan tiruan berjenama Puma, Burberry, Michael Kors dan Tommy Hilfiger yang keseluruhannya berjumlah RM9,724.
"Di premis pertama kita rampas 27 unit beg berjenama bernilai RM1,400, manakala di premis kedua sebanyak 289 unit baju pelbagai jenama bernilai RM7,225 dirampas.
"Di premis terakhir pula, kita sita 94 unit beg, jam dan aksesori pelbagai jenama berjumlah RM1,098.50," katanya memberitahu pemilik premis memberi kerjasama baik sepanjang operasi dibuat.
Beliau berkata, tiada penahanan dibuat ke atas pemilik mahupun pekerja premis.
Katanya, tiga premis itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu membekalkan atau menawarkan barangan dagangan palsu.
Menurutnya, jika sabit kesalahan bagi syarikat boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu, manakala bagi individu atau pemilikan tunggal, denda tidak melebihi sepuluh ringgit bagi setiap barangan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Operasi Barangan Tiruan yang bermula jam 10.30 pagi dan berakhir jam 8 malam itu melibatkan sembilan pegawai penguatkuasa KPDNHEP Selangor.