Addy Kana, dua polis fail rayuan

Iklan
Laporan Sinar Harian kelmarin

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ dan dua anggota polis yang ditahan reman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 berhubung sindiket perjudian dalam talian haram telah memfailkan rayuan selepas permohonan agar mereka dibebaskan segera ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Mereka ialah Zaidi Kanapiah, atau lebih dikenali sebagai ‘Datuk Addy Kana,’ Koperal Muhamad Amin Nur Rashid Mohamed Puad dan Koperal Mohd Hairy Mohammad, yang berusia lingkungan 34 hingga 39 tahun.

Iklan
Iklan

Peguam Jacky Loi, yang mewakili Zaidi dan Mohd Hairy ketika dihubungi berkata, rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu difailkan di Mahkamah Persekutuan pada Isnin lepas.

"Memandangkan permohonan kami adalah bagi mendapatkan satu writ habeas corpus, rayuan akan terus didengar oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Iklan

Peguam Shah Rizal Abdul Manan, yang mewakili Muhamad Amin pula berkata, beliau memfailkan rayuan itu semalam.

Pada Isnin lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin menolak permohonan mereka untuk mendapatkan writ habeas corpus bagi membolehkan mereka dibebaskan segera.

Iklan

Dalam permohonan itu, mereka meminta mahkamah mengeluarkan perintah bahawa penangkapan dan penahanan mereka pada 11 Oktober lepas mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 adalah tidak sah, tidak mempunyai asas, tidak mematuhi prosedur dan berniat jahat.

Mereka juga memohon perintah bahawa perintah reman bertarikh 14 Oktober 2020 oleh seorang majistret di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan polis untuk menahan reman ketiga-tiganya selama 21 hari mulai 14 Oktober hingga 3 November lepas di bawah Seksyen 4(1)(a) POCA adalah tidak sah, tidak mempunyai asas dan berniat jahat.

Pada 30 Oktober lepas, Majistret M.Mageswary membenarkan permohonan polis untuk melanjutkan tempoh tahanan reman mereka selama 38 lagi iaitu sehingga 6 Disember. - Bernama