BEKAS penjaring terbanyak Liga Thailand musim lalu yang juga penggempur baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Diogo Luis Santo dijangka tidak akan diturunkan dalam aksi Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin, malam esok.
Ia disahkan pengendali JDT, Luciano Figueroa yang memaklumkan bintang kelahiran Brazil itu masih berada dalam kecederaan dan tidak mahu mengambil risiko menurunkannya dalam perlawanan tersebut.
"Diogo masih cedera tetapi sentiasa tunjukkan aura positif untuk perlawanan ini, sebagai pasukan yang profesional kita tahu akan ada risiko jika kita masih mahu menurunkannya.
"Kita tidak mahu kehilangan dia untuk perlawanan yang akan datang, jadi kita kena fikir dahulu sama ada dia boleh bermain atau," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Perlawanan yang juga aksi pembukaan Liga Super 2019 menyaksikan juara lima tahun berturut-turut itu menentang juara Piala Malaysia 2018, Perak.
Perlawanan dijadual berlangsung di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin, kubu keramat buat Skuad Harimau Selatan itu akan memberikan kelebihan.
Bagaimanapun, Figueroa berkata, pihaknya tidak mahu pemain merasa terlalu selesa kerana tidak mahu kehilangan fokus ketika aksi tersebut berlangsung.
"Persediaan berjalan lancar, pemain juga mempamerkan prestasi yang baik sepanjang perlawanan pra musim sebelum ini, jadi ia memang meyakinkan saya untuk perlawanan esok.
"Daripada apa yang kami jalani, saya nampak semangat dan keyakinan dalam diri pemain, cuma kami mahu elakkan kesilapan mudah dan memberikan ruang kepada lawan," katanya.
Berdepan Skuad Seladang, Figueroa mengakui ada tekanan hebat dalam perlawanan itu tetapi ia tidak terlalu merisaukan kerana JDT mempunyai barisan pemain yang berkualiti.
"Mereka (Perak) ada pemain dan corak permainan yang bagus dan kita berhati-hati dengan itu, tetapi untuk perlawanan ini saya yakin dengan pemain-pemain yang saya ada.
"Untuk pemilihan perlawanan nanti, kita juga belum tetapkan siapa yang bakal diturunkan, kita alami masalah sebab semua pemain menunjukkan prestasi terbaik untuk posisi masing-masing.
"Seperti di bahagian pertahanan kita ada Aidil (Zafuan) dan Adam (Nor Azlin) dua-dua bagus, dan masing-masing tunjukkan keinginan tinggi untuk bermain," katanya.