Rumah pusaka diwakaf sebagai Rumah Ngaji

Iklan
Mufti Terengganu, Datuk Zulkifly Muda (kanan) merasmikan penubuhan Rumah Ngaji AsSolehin di Kampung Kubang Palas, Kuala Terengganu pada 31 Oktober lalu.

KUALA TERENGGANU - Sebuah rumah pusaka berusia 80 tahun di Kampung Kubang Palas di sini diwakafkan sebagai Rumah Ngaji untuk dimanfaatkan penduduk setempat sebagai medan ilmu terutama dalam pengajian al-Quran.

Penolong Pengurus Rumah Ngaji, Mohd Rozaimi Mohd Rozak berkata, kediaman itu pada asalnya milik datuknya, Allahyarham Besar@Taib Ismail yang meninggal dunia pada 1998.

Iklan
Iklan

"Kediaman ini ditinggalkan oleh datuk dan nenek (Meriam Idris) kepada bapa saya. Memandangkan rumah ini kosong dan tiada siapa yang tinggal, kami ambil keputusan untuk bawa konsep Rumah Ngaji.

"Rumah yang diberi nama Rumah Ngaji AsSolehin ini dirasmikan oleh Mufti Terengganu, Datuk Zulkifly Muda pada 31 Oktober lalu. Ia membawakan konsep Rumah Ngaji sama seperti yang dimulakan oleh pihak Karangkraf, Warisan Ummah Ikhlas dan Akademi Sinergi Ikhlas,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

Beliau berkata, Rumah Ngaji itu digerakkan bersama abangnya, Mohd Rozamli sebagai pengurus serta Mohammad Zaidi sebagai setiausaha di bawah Lembaga Amanah Rumah Ngaji AsSolehin.

Katanya, jadual aktiviti di Rumah Ngaji itu telah disusun termasuk kelas mengaji al-Quran bagi kanak-kanak yang akan dijalankan di kediaman yang mampu menempatkan seramai 150 orang itu mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Iklan

"Kita telah susun jadual aktiviti di mana setiap pagi Jumaat kita bercadang untuk adakan kelas mengaji dan fardu ain kepada kanak-kanak di kawasan sekitar kampung ini, dalam masa yang sama kita akan adakan kuliah duha pada setiap Sabtu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya berharap agar objektif penubuhan Rumah Ngaji AsSolehin dapat dicapai antaranya menjadikan ia sebagai amal jariah yang pahalanya terus mengalir berkat perjalanan pelbagai aktiviti ilmu melibatkan keluarga dan komuniti setempat.

"Rumah ini banyak menyimpan kenangan dan nostalgia keluarga jadi kita mahu jadikan ia sebagai pusat mentarbiah ahli keluarga dan komuniti di sini selain hasrat yang lebih besar iaitu masuk syurga sekeluarga,” katanya.