SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi kebaikan kepada pekerja dan negara.
Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, ia susulan negara kini berdepan dengan kesan pandemik koronavirus (Covid-19).
"MTUC berharap kerajaan mengambil kira semua aspek dan pandangan serta cadangan semua pihak dalam situasi pandemik Covid-19 ini dalam keadaan menang-menang kepada pekerja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Mohd Effendy berkata, MTUC mempunyai beberapa cadangan sempena pembentangan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurutnya, antara perkara yang dicadangkan ialah:
1) Jaringan keselamatan sosial dalam norma baharu dan bantuan kerajaan yang meliputi mengkaji keperluan pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara ‘one off’.
- Kaji keperluan Pengeluaran Akaun 1 KWSP secara 'one off'.
- Caruman KWSP bahagian majikan dinaikan dari 13 peratus bagi gaji pokok RM5,000 ke bawah dicadangkan kepada 15 peratus dan bagi gaji pokok lebih RM5,000 dari 12 peratus kepada 14 peratus.
- Bayaran khas kepada Pekerja bagi meringankan perbelanjaan sesi persekolahan anak tahun 2021.
- Bayaran khas bulanan kepada semua barisan hadapan (frontliners) sehingga berakhirnya pandemik Covid-19 atau berada di tahap minimum.
- Panjangkan kemudahan iLestari untuk tempoh 1 tahun.
- Memastikan kerajaan perlu teruskan Bantuan Prihatin Nasional kepada kumpulan bersasar.
- Memberikan kemudahan pembiayaan untuk usahawan untuk rancakan lagi dan mewujudkan peluang pekerjaan baru.
- Gaji minima dinaikkan.
- Bantuan Elaun Sara Hidup (COLA) untuk pekerja sektor swasta.
2) Keselamatan pekerja dalam memastikan pekerja sedia ada tidak kehilangan pekerjaan dan pekerja yang kehilangan pekerjaan akibat kejatuhan ekonomi hasil penularan Covid-19.
-Meningkatkan geran reskilling kepada pekerja sektor pelancongan (perhotelan, penerbangan, dll) untuk membantu mendapat pekerjaaan sektor lain.
- Mencadangkan bantuan EIS Plus 600 diteruskan
- Menyokong Program Subsidi Upah diteruskan
3)Keselamatan Pekerja
- Meluaskan coverage Perkeso – Bekerja dirumah sekiranya berlaku kemalangan dirumah.
- Mewujudkan"Rules and Regulation Covid-19”
- Mewujudkan Peraturan Pekerjaan Darurat
4) Penyelesaian kewangan iaitu bagaimana bantuan moratorium boleh dipanjangkan kepada kumpulan bersasar termasuk pinjaman pendidikan, perumahan, kenderaan dan perniagaan.
- Lanjutan tempoh moratorium secara pukal untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh 3-6 bulan lagi.
- Melonggarkan syarat pinjaman serta memudahkan proses pinjaman perniagaan di Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, SME Corp atau mana-mana agensi berkaitan untuk peniaga kecil dan sederhana (PKS) dengan pembiayaan Mikro tanpa faedah.
- Memudahkan permohonan lesen perniagaan dan kemudahan perniagaan
- Memberi subsidi Data Internet
- Memberi subsidi tambahan penggunaan elektrik di rumah
- Mengurangkan cukai kerajaan
5) Mewujudkan arena ekonomi baharu yang mampu mencipta peluang-peluang pekerjaan.
- Kerajaan perlu membuat satu projek jangka panjang untuk memastikan peluang pekerjaan diwujudkan secara berterusan
6) Warga emas dengan meningkatkan kemudahan perubatan kepada warga emas dalam mengenangkan jasa-jasa mereka
7) Mengkaji kadar bayaran rendah pencen yang diterima oleh pesara-Pesara daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang telah diswastakan pada era 80an dan 90an kerana pesara-pesara ini menerima pencen di bawah paras kemiskinan.