Belanjawan 2021 perlu ambil kira data

Iklan
Dr Mohd Daud menyentuh tentang pentingkan nasib lebih 1 juta rakyat yang hilang pekerjaan dan yang dipotong gaji dibela pada Wacana Al-Quran Siri 13 bertajuk 'Rakyat cemas: Sejauh manakah Belanjawan 2021 membantu' yang turut menampilkan Madeline, Fazrul dan Tirmizi.

SHAH ALAM - Data perlu dijadikan sebagai rukun kehidupan baharu dalam menentukan golongan mana yang perlu diberikan bantuan dalam Belanjawan 2021 sekali gus dapat membentuk sistem ekonomi negara yang bersifat penyayang dan inklusif.

Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, pendataan itu penting kerana ia juga dapat mengelakkan daripada berlakunya 'kesalahan pengecualian' iaitu bantuan yang diberikan tidak sampai kepada golongan sasar.

Iklan
Iklan

"Tanpa data, kita buat kerja secara agakkan dan al-Quran merupakan sebuah kitab yang 'data-driven'. Kalau kita buat penganalisaan data, memang jelas al-Quran itu 'data-driven'.

"Pendataan merupakan satu perkara yang bukan lagi pilihan pada masa ini. Ia merupakan satu perkara yang mesti diapungkan dalam konteks kita menyediakan bajet," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Al-Quran Siri 13 bertajuk 'Rakyat cemas: Sejauh manakah Belanjawan 2021 membantu?' yang diaiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian semalam.

Bergandingan bersama beliau sebagai panelis adalah Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma, manakala Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator serta qari, Ustaz Tirmizi Ali yang mengalunkan bacaan Surah Al-Maidah.

Iklan

Dr Mohd Daud memberitahu, sekiranya pendapataan diambil kira, bajet yang disediakan kerajaan akan lengkap seperti seekor burung yang memerlukan dua sayap untuk terbang iaitu mengambil kira faktor pandemik koronavirus dan pada masa sama memberi tumpuan terhadap pemulihan ekonomi.

Mengulas lanjut, Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu secara peribadi berpendapat dalam keadaan sekarang kerajaan perlu mengambil kira nasib lebih 1 juta rakyat di negara ini yang dilaporkan kehilangan pekerjaan dan yang diturunkan pangkat serta gaji.

Dr Mohd Daud

Bagi menyelesaikan kemelut itu, Dr Mohd Daud mencadangkan kerajaan membantu rakyat menerusi penyediaan peluang-puang pekerjaan yang baharu dan mewajibkan mereka mengikuti kursus agar mereka memperoleh ilmu baharu yang membolehkan mereka diterima bekerja di mana-mana tempat.

"Kita tahu setakat ini kerajaan dah banyak bantu rakyat. Cuma pandangan saya, apa salahnya bila kita bantu, kita bantu dengan minta mereka bekerja.

"Dengan memberikan satu kursus wajib dan mereka dapat belajar satu ilmu baharu. Sebab wang yang akan disalurkan menerusi usaha itu wang kerajaan yang datang dari rakyat juga. Bila kita berikan pekerjaan, ia akan menggerakkan gelombang perubahan rantaian nilai dalam masyarakat," katanya.

Katanya, ia sekaligus akan menjadi hala tuju baharu negara iaitu menjadikan bantuan kebajikan kepada rakyat berteraskan pekerjaan dan kemahiran yang baharu.

Dr Mohd Daud menegaskan, data perlu dijadikan sebagai 'hero' pada waktu ini kerana ia juga dapat mengenal pasti golongan miskin yang perlu diberikan bantuan.

Katanya, di dalam al-Quran ada disebutkan tentang golongan orang miskin yang bersifat meminta pertolongan dan ada juga orang miskin yang tidak meminta-minta.

"Jadi tugas kita kerajaan dan masyarakat perlu menyediakan data supaya dapat menyantuni mereka. Kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), masjid dan sebagainya perlu bijak menghidu data-data sebegini.

"Data kena betul-betul mampan kerana ia juga dapat menghidu kes-kes rasuah dalam masyakat. Menerusi data, kita tahu siapa yang berhak (dapat bantuan) dan siapa yang tidak berhak," katanya.