Model ekonomi baharu perlu dilaksanakan

Iklan
Dr Madeline

SHAH ALAM - Model ekonomi baharu seperti pendapatan asas sejagat perlu dipertimbangkan untuk dilaksanakan kerajaan dalam keadaan krisis pandemik koronavirus (Covid-19) sekarang.

Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma berkata, negara-negara Barat sekarang sudah memikirkan tentang mekanisme pendapatan asas sejagat disebabkan ramai rakyat yang jatuh miskin impak penularan wabak itu.

Iklan
Iklan

"Kenapa tidak diagihkan duit setiap bulan untuk tempoh satu tahun tanpa perlu dibayar balik dan sebagainya supaya rakyat melepasi garis kemiskinan?

"Sebab garis kemiskinan kita sekarang katanya RM2,000 lebih, tetapi (hakikatnya) kita tahu pendapatan RM3,000 pun dah tak boleh hidup di Kuala Lumpur," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Al-Quran Siri 13 bertajuk 'Rakyat cemas: Sejauh manakah Belanjawan 2021 membantu?' yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian semalam.

Wacana itu turut menampilkan panelis Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Dr Mohd Daud Bakar manakala Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator serta qari, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang mengalunkan bacaan Surah Al-Maidah.

Iklan

Justeru, Dr Madeline berkata, beliau percaya Belanjawan 2021 akan melandaikan dua keluk iaitu keluk Covid-19 dan keluk penguncupan ekonomi.

"Melandaikan keluk Covid-19 ialah dengan memastikan penularan wabak dapat diatasi kerana ia tidak boleh dihentikan. Virus ini masih bersama kita sekarang.

"Yang kedua adalah lebih berat, iaitu untuk melandaikan keluk penguncupan ekonomi. Jadi dua keluk ini perlu diratakan dan ia memerlukan pemikiran yang hebat," katanya.

Menurutnya, sebelum ini juga kerajaan telah memperuntukkan kira-kira RM305 bilion atau hampir 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk menyelesaikan impak negatif penularan Covid-19 menerusi pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan.

Katanya, apa yang perlu dielakkan daripada berlaku ketika ini bantuan yang disalurkan kerajaan turut dinikmati golongan yang tidak berhak.

"Kita tak nak orang yang tak layak dapat bantuan, dia dapat dan orang yang layak terlepas disebabkan berlaku 'kesalahan pengecualian'," katanya.

Tambah beliau, model ekonomi baharu yang diperlukan negara itu juga sebenarnya sedang difikirkan ahli ekonomi dan para akademik sekarang.

"Jadi inilah waktu terbaik untuk kita fikirkan satu model ekonomi baharu yang selama ini mungkin kita tidak pernah terfikir," katanya.