Kedah tangani kemiskinan tiga daerah

Iklan
Dari kanan, Kok Yew dan Mahfuz ketika turun pada Program Serahan Buah Limau Sempena Tahun Baharu Cina di Market Cowboy, Jalan Teluk Wanjah, dekat sini, hari ini.

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah berdepan tanggungjawab besar apabila tiga daerah di negeri itu tersenarai 28 daerah termiskin di Malaysia hasil kegagalan kerajaan dahulu yang tidak memberikan tumpuan kepada pembangunan seimbang.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, PH yang mengambil alih tampuk pemerintahan bermula tahun lalu memerlukan usaha yang teliti bagi 'membaiki' permasalahan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, usaha Kerajaan Kedah dengan melakukan Jelajah Harapan Kedah dan menyasarkan Sik sebagai daerah pertama bermula pertengahan Mac ini adalah salah satu tindakan yang tepat.

"Perkara ini adalah satu perkara yang baik dari komitmen exco-exco Kedah terutamanya. Saya fikir bukan sahaja di kawasan-kawasan tersebut tetapi di mana-mana sahaja di negeri Kedah kerana jelajah ini harus dilakukan untuk meninjau sendiri permasalahan mereka," katanya selepas Program Serahan Buah Limau Sempena Tahun Baharu Cina di Market Cowboy, Jalan Teluk Wanjah, dekat sini, hari ini.

Iklan

Hadir sama Exco Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew dan Adun Kota Darul Aman, Teh Swee Leong.

Mahfuz berkata, kawasan-kawasan yang disebut antara yang termiskin di Kedah iaitu Yan, Sik dan Baling adalah kegagalan kerajaan dahulu melalui program pembangunan masyarakat untuk mengeluarkan golongan tersebut dari belenggu kemiskinan.

Iklan

"Menjadi satu tanggungjawab yang sangat besar dan berat dan saya sangat mengharapkan bahawa Kerajaan Kedah akan mendapat maklumat yang secukupnya dan merancang program pembangunan untuk mengeluarkan mereka dari masalah ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berharap selain bantuan barangan yang dihulurkan, Kerajaan Kedah perlu juga perlu memberi bantuan dari sudut mempertingkatkan pengetahuan dan minda golongan miskin.

Menurutnya, faktor kemiskinan banyak disebabkan oleh kekurangan minda golongan berkenaan kerana setiap bantuan yang dihulurkan gagal diuruskan dan dimanfaatkan sebaik mungkin.

Sebelum ini pada Isnin lalu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun berkata, pihaknya sedang merencana pelbagai program pembangunan infrastruktur, peningkatan pendapatan serta pendidikan bagi membantu 28 daerah tersebut.