SK Paya Keladi ditutup, murid Tahun Enam positif Covid-19

Iklan
SK Paya Keladi ditutup selama seminggu bermula hari ini. Gambar kecil: Notis penutupan sekolah yang diletakkan di pintu pagar sekolah.

KEPALA BATAS - Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Keladi di sini ditutup selama seminggu bermula hari ini susulan terdapat laporan kes positif wabak koronavirus (Covid-19) di sekolah tersebut.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, kes terbabit melibatkan murid Tahun Enam yang disahkan positif semalam.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Abdul Rashid enggan mengulas lanjut mengenai punca jangkitan murid terbabit dan menyerahkan sepenuhnya kes itu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sekolah berkenaan ditutup selama tujuh hari untuk kerja pembersihan dan sanitasi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Iklan

Sementara itu, tinjauan yang dilakukan pagi tadi terdapat notis makluman penutupan sekolah diletakkan di pagar pintu masuk.

Turut kelihatan dua buah khemah di hadapan bangunan yang dipercayai digunakan untuk melakukan saringan suhu murid-murid sebelum memasuki bilik darjah.

Iklan

Difahamkan penutupan sekolah tersebut melibatkan seramai 53 orang guru dan 825 orang murid.

SK Paya Keladi menjadi sekolah ketiga yang ditutup ekoran terdapat kes positif Covid-19 selepas SK Permatang Janggus dekat Penaga dan SK Seri Sentosa dekat Nibong Tebal masing-masing ditutup selama seminggu pada 1 Oktober dan 23 Oktober lalu.