KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah bersedia dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak terpaksa diadakan dalam tempoh terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, garis panduan baharu itu juga selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19).
"Perlembagaan kita menetapkan bahawa apabila satu-satu negeri membubarkan atau dibubarkan dewan tersebut, maka Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri memutuskan atau memperuntukkan perlu diadakan pilihan raya dalam masa 60 hari dari tarikh permakluman itu.
"Namun demikian, dalam keadaan koronavirus (Covid-19) yang masih melanda negara, sudah tentu SPR perlukan kerjasama terutamanya dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Sekarang ini pun pihak SPR telah bersiap sedia dengan garis panduan pencegahan Covid-19 bagi menghadapi pelaksanaan pilihan raya sama ada PRU, PRN atau pun Pilihan Raya Kecil (PRK) itu sendiri," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Lim Lip Eng (PH- Kepong) mengenai kesediaan SPR sekiranya Parlimen dibubarkan dan PRN negeri terpaksa diadakan.
Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga ahli Parlimen Kota Bharu berkata, sebelum ini SOP baharu pilihan raya juga telah digunakan pada dua PRK DUN iaitu Chini, Pahang dan Slim, Perak dan PRN Sabah.
"Antara langkah pencegahan yang perlu diambil kira SPR untuk melaksanakan pilihan raya semasa Covid-19 ini adalah pertama pembersihan dan sanitasi di semua premis yang dikenal pasti akan digunakan tujuan pilihan raya.
"Semua perlu dilaksana sanitasi sebelum dan semasa dan selepas (sesuatu tempat) digunakan," katanya.