PEMAIN Chelsea, Timo Werner gembira diberikan tanggungjawab sebagai pemain utama untuk menyempurnakan sepakan penalti bagi skuad The Blues itu.
Werner berkata, beliau berbesar hati menerima tugasan berkenaan yang sebelum ini menjadi tanggungjawab rakan sepasukan kelahiran Itali, Jorginho,
Menurut pemain berusia 24 tahun itu, dengan tanggungjawab baharu itu, beliau berharap dapat terus menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada masa hadapan.
"Saya gembira dengan tanggungjawab yang diberikan ini dan kredit juga perlu diberikan kepada Jorginho yang ‘melepaskan’ tanggungjawab berkenaan kepada saya.
"Jorgi (Jorginho) juga gembira dengan perkara berkenaan. Ini membuktikan pasukan kita tidak memiliki pemain yang tamak dan kami menuju matlamat yang sama,” katanya.
Untuk rekod, Werner menyempurnakan dua sepakan penalti pada minit ke-10 dan 41 pada aksi berdepan kelab Ligue 1, Rennes dalam saingan Liga Juara-juara, di Stamford Bridge kelmarin yang menyaksikan Chelsea menang 3-1.
Satu lagi gol dijaringkan, Tammy Abraham pada minit ke-50 pada perlawanan menyaksikan layangan kad merah kepada pertahanan pelawat Dalbert Henrique Chagas Estevao pada minit ke-40.
Sementara itu, mengulas mengenai sepakan penalti berkenaan, Werner berkata, beliau sememangnya telah diarahkan oleh pengendali Chelsea, Frank Lampard untuk mengambil sepakan penalti pada perlawanan berkenaan.
"Pada perlawanan itu, saya telah mengambil kedua-dua sepakan penalti. Kedua-duanya berjaya disempurnakan dan ia adalah jaringan yang penting untuk seseorang pemain penyerang seperti saya.
"Bagi saya, apabila anda memikirkan untuk menjaringkan lebih 20 gol, anda perlu berani mengambil sepakan penalti.
"Ia adalah salah satu cara penyerang menjaringkan gol khususnya apabila anda berada pada tahap tertinggi,” katanya.