PUTRAJAYA - Sebanyak 20 barangan disenaraikan sebagai harga terkawal bagi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Deepavali yang akan diraikan minggu hadapan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataannya berkata, barangan tersebut merupakan barangan popular semasa perayaan Deepavali termasuk kacang panjang dan timun.
Menurutnya, pelaksanaan skim ini berkuatkuasa 9 hingga 17 November iaitu selama lima hari sebelum hari perayaan, sehari pada hari perayaan dan tiga hari selepas Deepavali.
"Tempoh pelaksanaan ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.
"Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, barangan tersebut adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing dan bebiri import bertulang.
Turut disenarai, telur ayam gred A, B Dan C, tomato, kubis bulat import dari Indonesia dan China, kacang bendi, timun, cili kering, kelapa biji, kelapa parut, selain bawang merah kecil India, bawang merah besar import, ubi kentang import serta Kacang dal Australia.
Alexander berkata, penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan kawalan harga yang lebih berkesan.
"Ia untuk memastikan harga yang berpatutan sekali gus memberi manfaat pengguna dan peniaga," katanya.
Sehubungan itu, katanya, harga maksimum ditentukan di peringkat pengeluaran (ladang) bagi ayam hidup dan telur ayam.
"Harga maksimum pengeluar, borong dan runcit ditentukan di 91 buah daerah di Semenanjung, 32 buah daerah di Sarawak, 27 buah daerah di Sabah dan sebuah daerah di WP Labuan," katanya.
Tambahnya, KPDNHEP mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha untuk menangani aduan dengan lebih berkesan.
"Peniaga hendaklah mematuhi arahan yang dikenakan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan manakala pengguna mestilah mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak mereka.
"Skim ini akan berjaya sekiranya semua pihak bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing," katanya.