Terbaharu, perkara sama berlaku ke atas Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain, ketika pertabalan baginda semalam, apabila ada segelintir individu bertindak biadab meninggalkan komen yang tidak sepatutnya.
Aktivis Masyarakat Noor Hasni Saad berkata perkara ini, tidak sepatutnya berlaku apatah lagi dari warganegara sendiri yang sepatutnya menghormati institusi diraja serta Perlembagaan Negara.
"Semasa menyaksikan lintas langsung dalam laman sosial, ada di antara komen yang berunsur sindiran, tak kurang juga yang mempersenda.
"Lebih menyedihkan individu yang mengeluarkan kata-kata ini merupakan rakyat di negara ini, dan mereka mengeluarkan kata-kata tersebut tanpa rasa bersalah," katanya.
Tegasnya, perkara sebegini tidak patut dibiarkan berleluasa dan tindakan tegas seharusnya dikenakan kepada individu-individu seperti ini.
"Saya minta pihak berkuasa terutamanya polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) ambil tindakan tegas segera dan tangkap pelaku biadab seperti ini.
"Mungkin mereka merasakan tiada apa tindakan yang boleh dikenakan, sedangkan adalah menjadi satu kesalahan, mengeluarkan kata-kata yang menghina raja Melayu dan boleh digelar sebagai pengkhianat negara.
"Saya sarankan hukuman berat dikenakan, tiada istilah beri muka kepada pengkhianat seperti ini, beri hukuman setimpal, agar mereka sedar bahawa tindakan mereka itu salah dan tindakan yang salah," katanya.
Tambahnya, perkara sebegini tampaknya semakin membimbangkan dan menjadi-jadi.
"Kenapa individu seperti ini sanggup melakukan perbuatan sedemikian, pada saya individu sebegini seharusnya diberikan pengajaran secukupnya.
"Jangan berlembut lagi dengan isu ini, ia melibatkan prinsip yang perlu kita junjung dalam negara, menghormati raja, dan ia sendiri terkandung dalam Perlembagaan Negara," katanya.