SHAH ALAM - Susulan Kenyataan Ketua Audit Negara berhubung hasil kerajaan Persekutuan pada 2019 meningkat 13.5 peratus kepada RM26.4 bilion berbanding tahun sebelumnya, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tampil menyatakan ia merupakan kejayaan pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Guan Eng menerusi ciapan di Twitternya berkata, ia hasil tadbir urus yang baik oleh kerajaan PH tanpa cukai barang dan perkhidmatan (GST).
"Penghargaan patut diberikan kepada penjawat awam di bawah Kementerian Kewangan yang memastikan hasil kerajaan dikutip dengan teratur dan telus.
"Saya berharap kerajaan PN akan beralih fokus daripada mengawal tahap hutang dan defisit fiskal negara kepada meminjam lebih banyak wang untuk berbelanja demi membantu rakyat Malaysia dengan menyelamatkan pekerjaan, mata pencarian dan perniagaan mereka," katanya hari ini.
Bagaimanapun, kenyataan Guan Eng disangkal oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa rata-rata pemimpin PH sedang menipu rakyat dengan mengakui kerajaan mereka amat baik kerana hasil kerajaan meningkat 13.5 peratus tahun lepas ke RM26.4 bilion.
Najib membangkitkan persoalan bagaimana hasil kerajaan naik 2019 sedangkan GST sudah tiada, ekonomi paling teruk sejak 10 tahun lalu, pasaran saham paling corot dalam dunia dan harga minyak dunia rendah.
"Selain banyak menjual aset-aset negara secara lambak, bahagian besar kenaikan hasil kerajaan tahun lepas adalah dari kenaikan dividen Petronas sebanyak RM30 bilion tahun lepas - menjadikan jumlah dividen tahun lepas sebanyak RM54 bilion iaitu RM38 bilion lebih tinggi berbanding masa BN.
"Rizab tunai RM174 bilion Petronas ditinggalkan kerajaan BN pada PRU14 dijarah begitu sahaja oleh PH untuk dua tahun berturut-turut. Kononnya untuk membayar balik baki tuntutan pulangan GST tapi tidak dibayar PH pula walaupun GST sudah dimansuhkan oleh mereka lebih dua tahun dahulu," katanya.
Jelasnya, pemimpin PH memuji diri sendiri kerana menaikkan dividen Petronas dengan harapan rakyat bersorak menyatakan kerajaan lalu pandai.
"Lepas itu, tanya kenapa hasil kerajaan naik 13.5 peratus tetapi defisit kerajaan tahun lepas lebih tinggi berbanding masa BN dan kenapa perbelanjaan PH tahun lepas jauh lebih tinggi berbanding zaman BN.
"Akibatnya, hutang kerajaan tahun lepas naik pada kadar paling tinggi dalam sejarah sebanyak RM51.8 bilion, iaitu kepada RM792.9 bilion berbanding RM741 bilion pada 2018 dan RM686.8 bilion pada 2017 masa BN," katanya.
Tambah Najib, hutang negara naik amat laju tahun lepas walaupun dividen Petronas paling tinggi dalam sejarah dan banyak aset-aset negara dijual sehingga aset bersih Khazanah jatuh dari RM116 bilion pada 2017 bawah BN kepada RM73 bilion pada akhir 2019.
"Selepas itu, Guan Eng amat bangga memberi RM30 kepada rakyat," katanya.