Belanjawan 2021 paling mencabar

Iklan
Belanjawan 2021 tidak akan meminggirkan rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19. Gambar kecil: Rosol Wahid

PEMBENTANGAN Belanjawan adalah detik yang ditunggu-tunggu oleh seluruh lapisan rakyat Malaysia saban tahun. Jumaat, 6 November 2020 menjadi detik keramat untuk Belanjawan 2021. Istimewanya kali ini, ia disifatkan sebagai belanjawan yang paling penting dan mencabar.

Mana tidaknya? Ia seolah-olah antara hidup dan mati. Belanjawan 2021 akan memastikan kelangsungan ekonomi negara dan hidup rakyat yang terkesan dengan pandemik koronavirus (Covid-19).

Iklan
Iklan

Kita akan saksikan sama ada ‘ikrar’ atau janji semua ahli politik yang patriotik dan mementingkan negara dan rakyat itu benar. Sebenar-benarnya!

Apakah mereka sedia mengetepikan perbezaan ideologi politik dan parti? Apakah mereka pentingkan kesetiaan kepada raja dan negara dengan mengikut titah Yang di-Pertuan Agong, ditepati atau tidak.

Iklan

Langkah kerajaan membuka ruang keterlibatan dan konsultasi dengan semua pihak termasuk pembangkang dalam penyediaan Belanjawan 2021 memperlihatkan betapa kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin cukup cakna terhadap kepentingan rakyat keseluruhannya.

Penting untuk memastikan belanjawan yang akan dibentangkan memenuhi aspirasi membantu proses pemulihan ekonomi negara dan memelihara kesejahteraan rakyat, serta menangani wabak Covid-19, yang dalam masa sama terpaksa ‘berperang’ dengan ‘wabak politiking’. Dalam kekangan dan kesuraman ekonomi negara dan dunia ini, kerajaan berbelanja besar untuk membantu rakyat.

Iklan

Bukan tugas mudah untuk seorang ketua kerajaan membuat keputusan penting bagi menangani isu pandemik global ini, namun kepentingan rakyat diletakkan di tempat tertinggi untuk diberi keutamaan oleh Muhyiddin.

Walaupun berdepan pelbagai dugaan, serangan dan cubaan pihak tertentu untuk menggoyahkan kedudukannya atau lebih tepat menjatuhkannya, komitmen, keupayaan dan kebijaksanaan beliau dalam menguruskan negara yang dibadai wabak Covid-19 dan wabak politiking dalam masa sama, tidak dapat kita nafikan.

Titah Agong

Lantaran itu, titah Yang di-Pertuan Agong supaya ahli politik menghentikan politiking seraya memberi sokongan penuh kepada Belanjawan 2021 demi kepentingan rakyat, wajib dipatuhi.

Banyak pihak salah tafsir usaha Muhyiddin memohon perkenan perisytiharan darurat daripada Yang di-Pertuan Agong dikatakan sebagai langkah menyelamatkan diri daripada dijatuhkan ahli Dewan Rakyat yang mempunyai misi dan agenda tersendiri. Walhal persepsi itu sama sekali tidak benar.

Ironinya, segala yang diusahakan beliau yang mesra disapa abah dalam kalangan rakyat akar umbi, semata-mata kerana rakyat dan negara. Segalanya demi memastikan kelancaran perjalanan pentadbiran kerajaan yang perlu memberi khidmat terbaik kepada rakyat pada tempoh sukar ini. Segalanya untuk memastikan misi membantu rakyat menghadapi situasi sukar ini tidak terbantut atau terjejas dek isu-isu yang tidak sepatutnya pun ditimbulkan pihak tertentu.

Muhyiddin mengambil alih tampuk pentadbiran negara ketika Malaysia melalui keadaan genting akibat ancaman pandemik Covid-19. Dan beliau telah membuktikan kemampuan untuk menguruskan negara ketika berdepan ‘darurat’ global ini. Bukan satu tugas mudah.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan Muhyiddin adalah lambang ikon pemimpin baik, yang bukan saja cemerlang ketika mentadbir negara semasa senang, tetapi juga pada waktu susah dan mencabar. Pengalaman selama 40 tahun dalam arena politik ternyata menjadi perisai buat beliau yang berdepan pelbagai serangan tanpa henti sejak mengambil alih tampuk pentadbiran negara pada Mac lalu.

Kepimpinan dan kewibawaan Muhyiddin menerajui negara mendapat sokongan penuh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Baginda meletakkan kepercayaan tinggi terhadap kepimpinan Muhyiddin bersama anggota Kabinetnya dan jentera kerajaan Perikatan Nasional untuk terus menerajui pentadbiran kerajaan sedia ada. Jadi siapa kita sebagai rakyat untuk menidakkannya?

Apa yang dizahirkan bererti Baginda tidak menyenangi usaha pihak tertentu untuk menukar kerajaan ketika ini. Usaha memulihkan ekonomi negara dan kembali memperkasa rakyat perlu mengatasi agenda kepentingan politik pemimpin tertentu yang rakuskan kuasa.

Kesan

Belanjawan 2021 seharusnya menjadi asas dalam mendokong usaha mendepani implikasi penularan pandemik Covid-19 menjelang tahun depan, terutama kesan sosio-ekonomi secara langsung dihadapi rakyat.

Selain isu berkaitan kesihatan, penumpuan harus diberikan kepada usaha menangani masalah pengangguran susulan ketidaktentuan ekonomi semasa yang menyebabkan banyak sektor industri terpaksa mengecilkan operasi, termasuk menamatkan perkhidmatan pekerja sebagai rasionalisasi survival syarikat dan organisasi. Ramai kehilangan pekerjaan.

Namun, usaha-usaha pemulihan ekonomi yang dijalankan kerajaan telah memperlihatkan penurunan kadar pengangguran sebanyak 4.7 peratus pada Julai 2020 berbanding 4.9 peratus bulan sebelumnya. Ia memperlihatkan tanda pemulihan ekonomi dan pasaran pekerjaan di negara ini.

Sebagai kementerian yang bertanggungjawab menjaga kepentingan dan keseimbangan lebih 32 juta pengguna serta peniaga di negara ini, tentunya usaha memperkasakan semula ekonomi negara dan rakyat menjadi keutamaan dan Belanjawan 2021 adalah jawapan untuk melihat proses itu berjalan lancar dan berkesan.

Fikirkanlah kesusahan yang dialami rakyat sekarang ini. Ada yang tidak cukup makan dan terpaksa mengikat perut, ada bapa yang tidak lena tidur memikirkan apa makanan mampu dihidang di atas meja untuk santapan anak esok hari, ada ibu yang hanya mampu menangis kerana tidak mampu membeli susu anak.

Ketepikanlah agenda politik demi kepentingan diri dan marilah kita bersatu hati, berpadu tenaga memastikan kepentingan rakyat mengatasi segalanya.

Jika rakyat telah dibantu menerusi bantuan berbilion ringgit dalam Prihatin, Penjana, Prihatin PKS dan Kita Prihatin ketika kerajaan terdahulu memukul canang negara hampir bankrap kerana hutang, pastinya sesuatu yang bersifat prihatin juga menanti rakyat pada Belanjawan 2021 ini.

Tiada juga salahnya memberi peluang Muhyiddin meneruskan usaha dan perancangannya demi manfaat rakyat negara ini, memakmurkan ekonomi dan menyelamatkan nyawa. Berilah sokongan, beri peluang dan sama-sama kita bantu menjayakannya. #KitaMestiMenang

* Datuk Rosol Wahid ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu