WASHINGTON - Peluang untuk merebut jawatan di Rumah Putih semakin cerah buat calon Demokrat, Joe Biden selepas beliau menang di Michigan dan Wisconsin, sekali gus menjadikannya semakin hampir untuk meraih majoriti 270 undi elektoral.
Keputusan terkini menunjukkan Biden, 77, memperoleh 264 undi elektoral mendahului Presiden Donald Trump yang mendapat 214 undi elektoral.
Trump, 74, didakwa masih berpeluang untuk mengejar Biden memandangkan kiraan undi di negeri yang mempertandingkan kerusi panas sedang giat dijalankan.
Tetapi, banyak pihak kini memberi tumpuan kepada calon Demokrat tersebut yang kelihatan lebih tenang untuk menunggu sehingga proses kiraan undi selesai berbanding pesaingnya yang berterusan dengan retorik politiknya termasuk tuduhan berlaku penipuan undi.
"Kita perlu berhenti memperlakukan pesaing kita sebagai musuh. Apa yang menyatukan kita sebagai rakyat Amerika adalah menjadi lebih kuat daripada sebarang cubaan untuk memecah-belahkan kita,” ujarnya ketika berucap dari negeri kelahirannya, Wilmington di Delaware.
Paling mengejutkan apabila Biden berjaya merampas negeri utara, Michigan dan Wisconsin selain diisytiharkan menang di Arizona yang pernah menjadi kubu kuat pro-Trump.
Bagi mencapai majoriti undi elektoral yang diperlukan, beliau berharap untuk meraih enam undi elektoral dari Nevada atau mungkin membuat lagi kejutan di Georgia atau Pennsylvania.
Sementara itu, misi pemantau daripada Pertubuhan untuk Keselamatan dan Kerjasama di Eropah yang mengawasi proses pengundian di negara Barat dan bekas Kesatuan Soviet mendapati tiada bukti berlaku penipuan undi dan mendakwa Trump membuat tuduhan tidak berasas untuk menghakis kepercayaan terhadap demokrasi.
Jumlah pengundi yang melebihi rekod dalam Pilihan Raya Presiden AS sebelum ini turut menyebabkan Biden menerima lebih banyak undi berbanding calon lain dalam sejarah AS dengan jumlah 70.5 juta undi popular, sekali gus memecahkan rekod pernah dipegang Presiden ke-44 AS, Barack Obama yang meraih 69.5 juta undi popular.
Sebelum ini, kontroversi perlumbaan ke Rumah Putih pernah berlaku ketika Pilihan Raya Presiden AS 2000 antara calon Republikan, George W Bush dan pesaingnya daripada Demokrat, Al Gore.
Pertikaian yang berpunca daripada kiraan undi di Florida akhirnya terpaksa dipanjangkan ke Mahkamah Agung yang kemudiannya menghalang proses kiraan semula undi yang kemudiannya membawa kepada kemenangan Bush.
The US Elections Project menganggarkan seramai 160 juta termasuk 65.2 juta undi pos yang tergolong dalam 103 juta pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kali ini. - AFP