SPR mula edar kad undi kepada 32,962 pengundi Batu Sapi

Iklan
SPR mula mengedarkan kad pengundi kepada 32,962 pengundi dalam usaha memudahkan mereka untuk keluar mengundi pada PRK Batu Sapi, Sabah.

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mula mengedarkan kad pengundi kepada 32,962 pengundi dalam usaha memudahkan mereka untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi, Sabah.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan hari ini berkata, kad pengundi yang diedarkan itu membabitkan pengundi biasa dan pengundi awal.

Iklan
Iklan

"Penghantaran kad pengundi ini meliputi 31,152 orang pengundi biasa dan 1,810 orang pengundi awal.

"Kad pengundi ini mengandungi maklumat pusat mengundi, saluran mengundi, nombor bilangan pengundi, tarikh, masa pengundian dan cadangan masa keluar mengundi yang digalakkan.

Iklan

"Maklumat ini akan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada hari mengundi awal pada 1 Disember dan hari mengundi biasa pada 5 Disember," katanya.

Menurut Ikmalrudin, SPR turut meletakkan maklumat masa keluar mengundi yang digalakkan bagi setiap pengundi.

Iklan

"Cadangan masa ini bertujuan mengelakkan pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai dan seterusnya memastikan penjarakkan fizikal dalam kalangan pengundi semasa berada di pusat mengundi.

"Ini adalah selaras dengan prosedur kawalan penyebaran wabak koronavirus (Covid-19) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Ikmalrudin berkata, pengundi yang telah menerima kad pengundi tidak lagi perlu membuat semakan di Barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat berkaitan telah dinyatakan dalam kad itu.

SPR turut menegaskan bahawa pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diingatkan supaya membawa kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan semakan.

"Mana-mana pengundi yang tidak menerima kad itu boleh membuat semakan maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan.

"Semakan juga boleh dibuat melalui portal rasmi SPR atau aplikasi MySPR Semak atau hubungi talian hotline SPR di 03-88927018,” katanya.