KUCHING - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 18 November ini akan hanya diadakan selama lima hari hingga 13 November disebabkan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu, kata Speaker DUN, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan notis permohonan yang dihantar oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kepada beliau.
"Peningkatan mendadak kes Covid-19 di negeri ini tidak tunjukkan tanda-tanda akan reda dalam masa terdekat, justeru mewajarkan persidangan dipendekkan kepada lima hari,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Susulan keputusan itu, beliau berkata, jawapan kementerian tidak akan dibuat secara individu tetapi akan dijawab oleh ketua menteri semasa ucapan penggulungan.
"Semua ahli DUN, ahli Kabinet dan mereka yang memasuki dewan persidangan termasuk Speaker perlu menjalani ujian calitan. Ini akan dibuat pada 6 dan 7 November,” katanya, menambah bangunan DUN juga akan disanitasi sehari sebelum dan selepas persidangan, selain tempat duduk ahli DUN akan dipasang pemisah lut sinar.
Mohamad Asfia berkata, belanjawan negeri akan dibentangkan pada hari pertama persidangan dan ahli DUN akan dibenar membahaskan belanjawan itu bermula 11 November.
Mengulas perkembangan lain, beliau berkata Sarawak mempunyai tempoh hingga 5 Ogos tahun depan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri ke-12 seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 21(3) Perlembagaan Sarawak.
"Penggal DUN semasa tamat pada 6 Jun 2021. Menurut Perkara 21 klausa 4, DUN ada lanjutan 60 hari jika penggal tamat pada 6 Jun 2021,” katanya, menambah penggal lima tahun itu bermula pada tarikh mesyuarat pertama DUN iaitu 7 Jun 2016, selepas pilihan raya negeri yang lalu.
Tambahnya, pilihan raya negeri harus diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
"Sama ada Covid-19 sudah berakhir atau belum, pilihan raya negeri harus diadakan. Itu sudah termaktub dalam perlembagaan. Tidak ada pilihan lain,” jelasnya. - Bernama