PEMILIK kelab Hockademy, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin tidak akan teragak-agak untuk membawa isu penggantungannya selama 18 bulan sehingga ke peringkat Judicial Comission Konfederasi Hoki Antarabangsa (FIH) dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Megat Shahriman mengakui berasa pelik dengan hukuman yang dikenakan oleh Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) itu yang mendapati beliau melanggar Klausa 6 Kod Tatatertib Liga Hoki Malaysia (MHL).
Justeru, beliau yang juga Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) akan menggunakan segala prosedur dan saluran sah selaras dengan klausa-klausa yang terdapat dalam Perlembagaan KHM bagi menuntut keadilan.
"Lembaga Eksekutif KHM menggantung saya selama 18 bulan setelah didapati bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin KHM kerana melanggar Klausa 6 (Kod Tatatertib Liga Hoki Malaysia MHL).
"Saya mengambil maklum terhadap keputusan tersebut selain bersedia untuk mempertahankan tindakan saya apabila menuntut pembayaran hadiah kemenangan MHL 2020 yang menjadi tanggungjawab saya sebagai pemilik Hockademy.
"Ini berikutan hukuman dan prosedur tatatertib yang dikenakan terhadap saya jelas menunjukkan sesuatu yang sangat pelik dan aneh serta menimbulkan pelbagai persoalan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Lembaga Eksekutif KHM yang telah bermesyuarat bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa Disiplin KHM yang mendapati Megat Shahriman melanggar Klausa 6 Kod Tatatertib MHL.
Begitupun, Megat Shahriman berkata, hukuman penggantungan 18 bulan yang berkuatkuasa serta-merta itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus memajukan sukan hoki negara.
"Saya menghormati tindakan KHM itu tetapi akan menggunakan saluran yang ada bagi mendapat keadilan yang sewajarnya. Saya buat semua ini demi hoki dan tiada kepentingan peribadi,” ujarnya.
Peguam yang mewakili Megat Shahriman, Mohd Zhafri Aminurashid pula menyifatkan dakwaan tersebut sebagai 'pertuduhan yang cacat' dan tidak mengikut prosedur biasa.
"Kami akan menegakkan hak Datuk Seri dan kami akan membuktikan bahawa pertuduhan ini adalah pertuduhan yang cacat dari segi undang-undang sukan baik di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa,” jelasnya.