161, 610 anak penyu dilepaskan di perairan Cherating

Iklan
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak (kiri) memasang penanda untuk mengesan seekor daripada penyu agar yang dilepaskan ke laut selepas merasmikan Program Kesedaran dan Pemuliharaan Penyu Bersama Komuniti Cherating di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Cheraring, petang tadi. Foto: Bernama

KUANTAN – Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Cherating, di sini, telah melepaskan sebanyak 161, 610 ekor anak penyu ke laut yang hasil telur penyu yang telah dieramkan di pusat itu sejak lapan tahun lalu sehingga kini bagi tujuan pemuliharaan hidupan akuatik itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak berkata, jumlah tersebut dilihat satu kejayaan yang membanggakan jika dibandingkan dengan bilangan telur penyu yang berjaya dikutip dan dieramkan.

"Data pendaratan penyu yang direkodkan sejak tahun 2010 hingga tahun ini menunjukkan sebanyak 2,762 aktiviti pendaratan penyu berlaku di Pantai Cherating dan daripada jumlah itu, sebanyak 242,442 biji telur penyu berjaya dikutip dan dieramkan.

"Hasilnya sebanyak 161,610 ekor anak penyu telah dilepaskan semula ke laut bagi tujuan peningkatan populasi penyu pada masa akan datang," katanya ketika berucap pada Program Kesedaran dan Pemuliharaan Penyu Bersama Komuniti Cherating di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, di sini, semalam.

Turut hadir Adun Beserah, Andansura Rabu dan Pengarah Perikanan negeri Pahang Azahari Othman.

Mohd Soffi berkata, selain kejayaan itu, pusat berkenaan berjaya muncul sebagai lokasi pelancongan terkenal apabila seramai 607,129 orang pelancong dalam dan luar negara dicatat berkunjung ke situ sejak lapan tahun lalu.

"Seramai 511,721 orang merupakan pelancong tempatan manakala 95,048 orang lagi adalah pelancong luar negara.

"Ini mencapai objektif semasa Jabatan Perikanan mewujudkan pusat ini iaitu untuk meningkatkan publisiti dan penyelidikan berkaitan hidupan akuatik ini," katanya.

Sehubungan itu, katanya keraan negeri bercadang untuk menambah rizab pantai bagi tujuan pendaratan penyu di Pantai Chendor sejauh tujuh kilometer selain kawasan Pantai Cherating yang sedia ada sepanjang 35 kilometer. - Bernama

Iklan
Iklan