WASHINGTON- Pasukan peguam Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memperoleh perintah mahkamah membenarkan wakil kempen masuk ke pusat penjumlahan undi untuk memantau proses pengiraan di Philadelphia, Pennsylvania, kata bekas Peguam Negara Florida Pam Bondi kepada wartawan di pekarangan Pusat Konvensyen Pennsylvania pada Khamis.
"Kami rancang untuk masuk ke bangunan itu sekarang dan memantau proses pengiraan undi," kata Bondi, lapor agensi berita Sputnik.
Penasihat kanan kempen Trump 2020, Corey Lewandowski, berkata mereka akan memantau dari jarak enam kaki.
"Kami akan masuk sekarang untuk melihat apa yang sedang berlaku, bukan dari jarak 30 kaki, bukan dari jarak 100 kaki, dari jarak enam kaki," kata Lewandowski.
Pasukan peguam Trump sebelum itu memfailkan tuntutan mahkamah supaya pengiraan undi di Pennsylvania dan Michigan dihentikan sehingga mahkamah membenarkan pemerhati kempen memantau proses pengiraan.
Jurang antara Trump dan pencabarnya daripada Demokrat, Joe Biden mengecil di Philadelphia ketika beberapa daerah Pennsylvania baru mula mengira kertas undi pos.
Dengan 87 peratus undi dikira di negeri yang mempunyai 20 undi elektoral itu, Trump ketika ini mendahului 50.5 peratus-48.4 peratus. - Bernama