KOTA BHARU - Dua buah rumah musnah dalam satu kebakaran di Kampung Paya Dewan Beta di sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Fakaruddin Berahim ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.12 malam dan tiba ke lokasi kejadian 11 minit kemudian.
Iklan
Iklan
"Kami menerima panggilan daripada Perkhidmatan Respons Kecemasan Malaysia 999 (MERS999) dan setibanya di sana, kami dapati kebakaran tersebut melibatkan dua buah rumah.
"Api memang marak dengan cepat dan kami dapati rumah pertama dua tingkat dihuni oleh dua penghuni dan sebuah rumah lagi adalah rumah setingkat yang dihuni oleh tujuh orang penghuni.
"Dua-dua rumah tersebut musnah 95 peratus dan semua mangsa berjaya menyelamatkan diri,” katanya yang turut memberitahu, operasi juga melibatkan anggota dan pegawai dari Balai Bomba Tunjong.
Menurutnya, operasi pemadaman api juga mencabar kerana pihaknya berdepan kekangan memandangkan kawasan tersebut terlalu sempit untuk dilalui jentera serta pili bomba berhampiran tidak mempunyai air.
Katanya, siasatan sedang dijalankan dan punca kejadian masih dalam siasatan.