BEKAS pertahanan Barcelona, Danny Alves membidas keputusan ahli lembaga pengarah kelab berkenaan yang menolak hasratnya untuk kembali beraksi bersama skuad Blaugrana itu.
Alves berkata, penolakan berkenaan menggambarkan mereka (lembaga pengarah) ‘tidak berani’ untuk menerimanya semula setelah melepaskannya sebagai ejen bebas kepada Juventus musim 2016 lalu.
Menurut pemain berusia 37 tahun itu, kehadirannya telah membantu Juventus untuk muncul juara berganda Seria A dan Coppa Italia pada musim pertamanya di Turin, selain membantu skaud The Old Lady itu muncul naib juara Liga Juara-Juara 2016/2017 setelah tewas kepada Real Madrid, 1-4.
"Saya menawarkan untuk kembali ke Barca. Pemergian saya ke Juventus menjadi bukti bahawa saya masih boleh beraksi dengan baik.
"Saya mahu kembali ke Barca bagi membantu, tetapi mereka ternyata tidak berani untuk mengakui yang mereka telah membuat ‘penilaian yang salah’ terhadap saya sebelum ini.
"Jika mereka telah melayan saya selayaknya, mungkin hari ini saya masih beraksi dengan mereka kerana saya sayangkan kelab ini,” katanya.
Untuk rekod, setelah dua musim beraksi dalam saingan Serie A, Alves turut cemerlang dalam Ligue 1 apabila membantu Paris Saint-Germain (PSG) muncul juara beberapa trofi dalam kejohanan domestik di bawah kendalian Unai Emery dan Thomas Tuchel.
Selain itu, Alves turut cemerlang membantu Sao Paulo ketika kembali ke Brazil selepas itu, namun pemain berkenaan mahu kembali membantu Barca yang dilihat mempamerkan aksi yang tidak menentu ketika ini.
Selama beraksi di Nou Camp, Alves telah menjaringkan 21 gol dalam 391 perlawanan antara 2008 hingga 2016 selain membantu Barca memenangi 23 trofi seperti enam kejuaraan La Liga dan tiga trofi Liga Juara-Juara termasuk ketika menewaskan Juventus 3-1 pada 2015 lalu.
Sementara itu Alves berkata, Barca dilihat semakin kehilangan identitinya berikutan perubahan corak permainan dan perlu melalui proses pembangunan semula.
"Barca bagi saya telah banyak berubah. Kelab ini telah kehilangan identitinya dan perlukan proses pembinaan semula.
"Ketika ini saya hanya merasakan Barca hanya mahu menjadi sebuah kelab komersial dan juga sebuah kelab bisnes, yang hanya tahu membeli dan menjual pemain.
"Bila itu berlaku, anda sebenarnya kehilangan identity. Itu sebenarnya masalah bagi Barca,” katanya.