BEKAS pemain Liverpool, John Barnes menyifatkan Roberto Firmino masih lagi menjadi pemain penting dan perlu diturunkan dalam kesebelasan utama The Reds ketika menghadapi Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad Isnin ini.
Menurutnya, walaupun Firmino dilihat kurang menyerlah dalam beberapa perlawanan sebelum ini, namun dia masih memiliki kelebihan dan pengalaman untuk menjadi watak penting ketika menentang The Citizens.
"Menentang City yang merupakan sebuah pasukan yang kuat dan anda tidak akan memiliki banyak penguasaan bola, maka saya melihat Firmino sebagai taruhan yang terbaik.
"Liverpool memerlukan pemain seperti Firmino yang tak hanya menguasai bola tetapi juga mampu bertahan dengan baik ketika pasukan diserang," katanya.
Sebelum ini, Firmino menjadi mangsa kritikan penyokong Liverpool selepas tampil hambar dan gagal berfungsi dengan baik dalam saingan EPL musim ini.
Malah, penyokong Liverpool juga mahu Diogo Jota diletakkan di posisi penyerang utama selepas pemain kelahiran POrtugal itu cemerlang meledak hatrik dalam perlawanan menentang Atalanta pada saingan Liga Juara-Juara Rabu lalu.
Bagaimanapun, Barnes tidak setuju dengan saranan penyokong itu dengan menegaskan bahawa Jota tidak memiliki kemampuan seperti Firmino untuk turun membantu barisan pertahanan.
"Jota memang telah menjaringkan hatrik, tetapi itu tidak bererti dia secara automatik akan jadi pemain utama ketika menentang City. Saya fikir siapa
yang akan diturunkan bergantung kepada corak permainan serta siapa yang mereka akan lawan dan bagaimana pasukan itu bermain.
"Jika anda bermain melawan Atalanta atau Leeds dengan konsep permainan lebih terbuka, maka Jota adalah pemain yang sangat Sesuai. Tetapi, jika menentang City, saya rasa Firmino lebih layak.
"Saya percaya City akan bermain dengan konsep penguasaan bola yang menuntut lebih banyak disiplin bertahan dalam kalangan pemain Liverpool.Namun, ia terpulang kepada barisan kejurulatihan untuk membuat keputusan," katanya.