Perhalusi klasifikasi pendapatan elak tercicir bantuan

Iklan
Ahmed Razman

SHAH ALAM - Klasifikasi pendapatan di Malaysia yang dibahagikan kepada tiga golongan iaitu B40, M40 dan T20 perlu diperhalusi supaya bantuan dan subsidi yang akan disalurkan oleh kerajaan benar-benar sampai kepada khalayak sasaran.

Penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, definisi kumpulan pendapatan ini tidak tetap dan istilah ini mewakili peratus populasi negara dan nilai ini mungkin naik atau turun dari tahun ke tahun, bergantung kepada penyata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Iklan
Iklan

"Kebiasaannya klasifikasi ini yang digunakan kerajaan untuk mengenal pasti inisiatif untuk memberikan bantuan dalam Belanjawan. Memang matlamat asal setiap peruntukan, golongan B40 akan diberi keutamaan kerana mereka ini sememangnya memerlukan bantuan.

"Ada golongan M40 yang berada di tahap bawah dan tidak mempunyai lebihan pendapatan, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di bandar serta sentiasa berada dalam keberhutangan.

Iklan

"Setiap kali Belanjawan diumumkan, golongan B40 sering mengeluh kerana jarang bantuan disalurkan kepada mereka dan pengecualian cukai juga terlalu sedikit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Wacana Al-Quran bertajuk ‘Belanjawan 2021: Terbelakah golongan M40? Yang siarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf semalam.

Iklan

Dalam wacana itu, Ahmed Razman bergandingan bersama Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar manakala Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas(WUIF), Fazrul Ismail sebagai moderator serta qari jemputan Ustaz Husaini Mahmur yang membacakan surah al-Baqarah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan atau agensi yang terlibat dalam menyalurkan inisiatif serta bantuan ini perlu menggunakan hikmah agar tiada golongan yang keciciran dalam menerima bantuan.

Wacana Al-Quran sesi ke 14 membincangkan topik Belanjawan 2021:Terbelakah Golongan M40?, dari kiri Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku Moderator, para panelis, Penganalis Ekonomi Putra Business School (PBS) Prof. Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff (dua kiri), Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar (dua kanan) dan qari jemputan, Ustaz Husaini Mahmur yang berlangsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam. FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR.

"Memang klasifikasi untuk golongan M40, B40 dan T20 penting bagi membolehkan kerajaan melaksanakan polisi serta dasar inisiatif untuk membantu golongan tersebut. Namun saya melihat pihak terlibat perlu melihat pelbagai faktor, termasuk dalam mengklasifikasi golongan M40.

"Contohnya, golongan M40 yang berpendapatan RM8,000 dan mempunyai seorang anak tidak sama dengan mereka dari golongan sama namun mempunyai 10 anak. Sudah tentu juga statistik pendapatan M40 di setiap negeri berbeza, begitu juga golongan ini yang tinggal di bandar, pinggiran bandar dan di kampung, ada bezanya.

"Sebab itu dari segi pelaksanaan, kita mengharapkan ada hikmah untuk memastikan tidak ada golongan yang tercicir dalam menerima bantuan ini, lebih-lebih lagi ketika negara berdepan dengan pandemik koronavirus (Covid-19) dan kemelesetan ekonomi, sebenarnya golongan M40 ini sangat terkesan," katanya.

Dalam pada itu, Ahmed Razman berkata, kerajaan dicadangkan mewujudkan skim bantuan ‘community currency’ untuk menggajikan pekerja M40 yang kehilangan pekerjaan atau ingin menambah pendapatan mereka.

"Skim bantuan ini bukan menggunakan wang ringgit sebaliknya mereka diberikan ganjaran dan ia boleh ditukarkan dengan makanan atau sebagainya. Ini satu cara yang boleh dilaksanakan di Malaysia.

"Begitu juga dengan skim jaminan pekerjaan atau 'bank pekerjaan'. Kerajaan boleh membelanjakan sejumlah wang untuk menggajikan mereka untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti membina model ekonomi dan masyarakat yang kita mahukan.

"Mereka ini sebenarnya ada potensi yg luas jika diberi peluang. Kadang-kadang mereka bukan mahu sangat bantuan tetapi mahu diberi peluang untuk menambah pendapatan mereka,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga melaksanakan teknik ‘netting’ dengan memberi peluang pekerjaan kepada golongan terbabit dengan membayar gaji menggunakan kredit atau baucar.

"Kredit yang diterima mereka ini boleh digunakan utk mendapatkan barangan atau perkhidmatan dari mana-mana sama ada sektor awam atau swasta. Ini sekali gus dapat membantu menangani masalah kos sara hidup mereka.

"Kredit ini juga perlu ada tarikh luput untuk mengelak berlakunya pengumpulan kredit. Dalam sistem ini kerajaan tidak perlu menambah hutang, aktiviti transaksi perniagaan dalam komuniti dapat berjalan seperti biasa,” katanya.