KOTA KINABALU - Parti Warisan Sabah (Warisan) akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi yang bakal diadakan pada 5 Disember ini.
Naib Presiden Warisan, Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata, calon sudah dikenal pasti bagaimanapun ia akan diumumkan Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal nanti.
"Nanti Presiden akan buat kenyataan sebelum penamaan calon. Kita pun ada komponen kita juga iaitu Warisan Plus, kita akan bincang.
"Bagi (calon) kita rasa sudah ada, cuma tunggu keputusan kepimpinan kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing, di sini hari ini.
Ketika ditanya berhubung jangkaan Warisan mungkin akan dicabar walaupun dalam keadaan penularan kes koronavirus (Covid-19) yang tinggi pada waktu ini, beliau yakin akan ada pertandingan dalam PRK itu.
"Di Sabah ini, dalam sejarah tiada pertandingan secara percuma dalam pengalaman 60 tahun di mana-mana Pilihan Raya Umum (PRU), PRK pun sentiasa ada pertandingan.
"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah keluarkan kenyataan PRK Batu Sapi tetap diteruskan, maknanya ada pertandingan," katanya.
Terdahulu, PRK Batu Sapi dijadualkan akan berlangsung pada 5 Disember ini dan sehingga kini beberapa parti mengumumkan tidak akan bertanding disebabkan keadaan kes koronavirus (Covid-19) di Sabah yang tinggi.
Antaranya Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).