Anggota polis dicekup seludup PATI

Iklan
Nik Ezanee (dua dari kanan) menunjukkan antara rampasan susulan penahanan seorang anggota polis yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran di Petaling Jaya semalam.

PETALING JAYA - Seorang anggota polis ditahan selepas cuba menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kampung Lindungan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kegiatan anggota yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) terbabit dikesan sepasukan polis yang sedang melakukan pemantauan pematuhan dan Op Samun/ragut pada jam 6 pagi.

Iklan
Iklan

Katanya, pemeriksaan di dalam MPV terbabit mendapati lima penumpang warga asing termasuk tiga wanita berusia lingkungan 31 hingga 48 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

"Susulan itu, bertindak atas maklumat, kira-kira jam 6.30 pagi dengan dipandu arah anggota terbabit, polis telah menyerbu sebuah rumah di Kampung Lindungan dan menahan dua warga asing termasuk seorang wanita.

Iklan

"Kita kemudian merampas MPV dipandu anggota terbabit selain sehelai vest polis, telefon bimbit dan buku catatan yang memaparkan rekod pembayaran. Ujian air kencing juga mendapati anggota itu positif dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, hari ini.

Antara rampasan susulan penahanan seorang anggota polis yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran di Petaling Jaya semalam.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran.

Iklan

Tambahnya, semasa soal siasat dijalankan, anggota terbabit dipercayai melakukan ugutan terhadap seorang pegawai Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) yang melakukan soal siasat ke atasnya kira-kira jam 11.30 pagi.

"Suspek mendakwa akan membuat tohmahan terhadap pegawai berkenaan dan menuduhnya sebagai menganiaya.

"Satu laporan kemudian dibuat pegawai itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.