Agong ucap tahniah Zyson menang kejohanan anjuran NASA

Iklan
Tangkap layar hantaran di Facebook Istana Negara hari ini.

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pin Hwa 1, Zyson Kang Zy Shun atas kejayaan memenangi tempat pertama dalam pertandingan Lunar Loo Challenge.

Murid berusia sembilan tahun dari sekolah di Setia Alam, Selangor itu menang bagi kategori bawah 11 tahun dalam kejohanan anjuran Pentadbiran Aeroangkasa dan Aeronautik Amerika Syarikat (NASA) yang merancang misi ke bulan pada 2024.

Iklan
Iklan

Hasil ciptaan Zyson iaitu Spacesuit Lunar Toilet memudahkan angkasawan untuk membuang air sewaktu berada di dalam kapal angkasa, telah menewaskan hampir 900 peserta lain dari seluruh dunia.

Istana Negara menerusi hantaran di Facebook hari ini memaklumkan, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan Zyson yang turut membanggakan rakyat serta mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Iklan

Seri Paduka Baginda berharap semoga pencapaian hebat murid itu menjadi sumber inspirasi dan contoh kepada seluruh rakyat untuk bekerja keras serta memberi yang terbaik.

"Berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahupun di persada dunia," kata kenyataan tersebut.

Iklan

Ciptaan unik murid itu tidak memerlukan tenaga elektrik atau bateri tetapi hanya menggunakan tenaga kinetik daripada gerakan sekali gus mengurangkan risiko rosak pada alat berkenaan.

Alat tersebut menggunakan picagari yang dilekatkan pada kaki angkasawan untuk mengawal tekanan dalam saluran tiub bagi membawa cecair bahan buangan ke dalam kantung hidrogel dan menukarkannya menjadi pepejal.