Siasat dalang di sebalik gerakan subversif UMANY

Iklan
Mohd Razlan (tengah) selepas membuat laporan polis di Balai Polis Pantai, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR - UMNO mendakwa terdapat pihak berkepentingan di sebalik tindakan subversif Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) terhadap institusi Raja Berperlembagaan di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, pihak berkuasa termasuk polis perlu menyiasat dalang sebenar di sebalik gerakan tersebut.

Iklan
Iklan

"Nampaknya UMANY tidak menarik balik kenyataan dan meminta maaf meskipun polis sudah menyiasat mereka di bawah Akta Hasutan.

"Sebab itu saya cakap ada dalang menyebabkan mereka menjadi begitu berani melakukan provokasi melampau terhadap Raja-Raja Melayu,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan di Balai Polis Pantai di sini hari ini.

Iklan

Mohd Razlan berkata, beliau percaya gerakan subversif itu jika tidak dibendung akan mendatangkan mudarat kepada keharmonian dan perpaduan negara.

"Persatuan ini didokong oleh golongan mahasiswa yang radikal berpaksikan kononnya atas dasar hak dan kebebasan bersuara.

Iklan

"Ini tidak betul kerana kita negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan,” katanya.

Sementara itu, Razlan juga mengharapkan agar pihak pentadbiran Universiti Malaya (UM) mengambil tindakan disiplin tegas terhadap setiap individu terlibat kerana telah menghina Yang di-Pertuan Agong.

"Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga digesa agar tidak berlembut dengan tindakan pelajar tersebut yang jelas mempersendakan kedaulatan negara.

"Saya juga minta pengurusan Universiti Malaya (UM) terus mendokong Perlembagaan Persekutuan dan sistem Raja Berperlembagaan. Apa sahaja kebebasan bersuara, sekiranya ia melanggar lunas undang-undang, ia bukanlah kebebasan bersuara,” katanya.

Presiden UMANY disiasat di bawah Akta Hasutan

Pertikai kuasa Agong, UMANY digesa mohon maaf