PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Belanjawan 2021 yang bernilai RM322.5 bilion mencerminkan hasrat dan keperluan rakyat serta perniagaan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya berkata, ia adalah hasil maklum balas daripada 6,000 respons yang diterima melalui pelbagai platform dan sesi libat urus.
"Belanjawan yang baharu dibentangkan di Parlimen pada hari ini adalah penzahiran konsep Prihatin Rakyat yang didokong teguh oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
"Walaupun negara berada dalam situasi sukar dan mencabar, kebajikan rakyat tidak akan diabaikan sama sekali. Ini merupakan tekad kerajaan dalam memastikan wabak koronavirus (Covid-19) ditangani dengan berkesan," katanya.
Menurutnya, kerajaan telah menggubal sebuah Belanjawan yang berprinsip melindungi rakyat dan perniagaan serta membantu mereka untuk melonjak kembali selain menjamin masa depan yang lebih berdaya tahan dan lestari.
"Kerajaan sedar bahawa apa yang paling membimbangkan rakyat adalah kesihatan mereka dan punca rezeki bagi menyokong kelangsungan hidup masing-masing. Justeru kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal memastikan rakyat sentiasa dilindungi.
"Ini jelas dilihat melalui peruntukan yang tertinggi untuk rakyat dalam Belanjawan 2021 ini berbanding belanjawan negara yang pernah dibentangkan sebelum ini," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pelbagai langkah yang digubal bukan sahaja bagi keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat untuk hari ini, tetapi bagi membantu membina sebuah masa depan yang lebih kukuh.
"Belanjawan 2021 ini juga akan meneruskan momentum yang telah dicapai selepas pelaksanaan empat pakej rangsangan terdahulu yang berjumlah RM305 bilion iaitu Prihatin, Prihatin PKS+, Penjana dan Kita Prihatin," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pelbagai jenis bantuan, subsidi dan insentif yang bernilai RM28 bilion telah disediakan oleh kerajaan terutamanya bagi menangani beban kos sara hidup dan memelihara kebajikan golongan rentan.
"Selain itu, kerajaan juga komited bagi memberi peluang dan mengekalkan pekerjaan, memastikan keterangkuman dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat.
"Daripada jumlah ini, bantuan langsung iaitu Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), dijangka memanfaatkan sejumlah 8.1 juta rakyat dengan peruntukan RM6.5 bilion," katanya.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan turut mengambil maklum kebimbangan rakyat tentang kelangsungan hidup mereka, terutamanya dari segi pekerjaan dan punca rezeki.
"Justeru, kerajaan bertekad untuk mencapai sasaran 500,000 peluang pekerjaan baharu melalui pelbagai program termasuk peningkatan kemahiran dan latihan semula. Selain itu kerajaan juga telah mengumumkan pembentukan Majlis Pekerjaan Negara (National Jobs Council).
"Majlis ini akan dipengerusikan oleh saya sendiri dan akan menyelaraskan semua inisiatif kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat," katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, Belanjawan 2021 turut mengambil pendekatan bersasar untuk memastikan bahawa mereka yang benar-benar memerlukan akan terus mendapat sokongan dan bantuan daripada kerajaan.
Katanya, golongan ini merentas kaum dan ideologi tanpa mengira di pelosok negeri mana mereka berada.
"Pendekatan bersasar ini diambil kira dalam mengizinkan pengeluaran simpanan akaun satu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mereka yang telah hilang pekerjaan dan benar-benar terjejas.
"Begitu juga dengan penambahbaikan Bantuan Pembayaran Bersasar oleh sektor perbankan dari segi kelonggaran pembayaran kepada peminjam yang dikenal pasti," katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga akan memastikan sektor perniagaan dan ekonomi terus didorong melalui pelbagai langkah khusus untuk menambah baik ekosistem perniagaan serta melahirkan keyakinan
Malaysia akan terus kekal sebagai destinasi pilihan kepada pelabur-pelabur asing dan domestik.
Katanya, usaha memastikan ketahanan ekonomi negara juga adalah antara fokus utama dalam belanjawan kali ini dan kerajaan komited dalam melaksanakan belanjawan pengembangan, sementara terus mengekalkan disiplin fiskal.
"Justeru, pemantapan penyampaian perkhidmatan awam juga turut diberikan penekanan, selain prinsip melindungi, melonjak kembali, serta menjamin juga adalah bertujuan untuk terus menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
"Wawasan ini akan menjadi penunjuk arah dasar-dasar kerajaan dalam merapatkan jurang ekonomi dengan segala hasil kemakmuran negara dikongsi oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kumpulan etnik dan wilayah," katanya.
Muhyiddin berkata, Belanjawan 2021 adalah sebahagian daripada janji kerajaan untuk mencapai kesejahteraan dan kemakmuran yang sebenar bagi seluruh rakyat Malaysia, serta memastikan setiap rakyat terus maju dan makmur bersama.
"Kerajaan menyeru agar rakyat Malaysia berganding bahu dan menjunjung semangat solidariti dalam usaha kita memerangi wabak Covid-19 dan cabaran ekonomi semasa. Teguh kita, menang bersama," katanya.