Kementerian Pengangkutan diberi tanggungjawab besar

Iklan
Wee Ka Siong

PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan (MOT) telah diberikan tanggungjawab yang agak besar untuk membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik koronavirus (Covid-19) melalui program pembangunan sistem pengangkutan awam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ir Wee Ka Siong dalam kenyataannya berkata, ia merangkumi pelaksanaan projek Rapid Transit System Link (RTS Link) dari Johor Bahru, Johor ke Woodlands, Singapura, MRT3 di Lembah Klang dan Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru.

Iklan
Iklan

"Projek pembangunan ini akan menyumbang dan memangkin ekonomi negara melalui aktiviti-aktiviti pembangunan serta meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan negara," katanya.

Menurutnya, keprihatinan kerajaan juga terserlah melalui peruntukan sebanyak RM50 juta untuk membantu sektor penerbangan yang merupakan sektor yang paling teruk terjejas akibat Covid-19.

Iklan

"Penyediaan program latihan dan penempatan semula bagi 8,000 kakitangan yang terlibat dalam sektor penerbangan akan memberikan peluang pekerjaan baharu bagi mereka demi memastikan masa depan yang lebih terjamin," katanya.

Beliau berkata, bagi membantu meringankan beban pengguna sektor pengangkutan darat pula, inisiatif pas perjalanan MY30 akan diteruskan dan diperluaskan ke Pulau Pinang dan Kuantan, Pahang dengan peruntukan sebanyak RM300 juta.

Iklan

"Tambahan pula, pengenalan insentif baru pas perjalanan tanpa had RM5 untuk membantu pelajar sekolah Tahun 1 hingga Tingkatan 6 termasuk golongan orang kelainan upaya (OKU) merupakan insentif terbaik untuk memastikan golongan itu dapat meneruskan aktiviti pembelajaran mereka serta meringankan beban kewangan ibu bapa," katanya.

Ka Siong berkata, pas itu juga boleh digunakan bagi perkhidmatan tren Komuter Lembah Klang, Komuter Sektor Utara, tren di antara Kuala Lipis, Pahang dan Tumpat, Kelantan serta perkhidmatan tren di Sabah.

"Melalui agenda pendigitalan, perkhidmatan atas talian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diperluaskan melalui pengenalan kiosk di 50 lokasi strategik orang ramai di seluruh negara.

"Ini akan dapat mengurangkan keperluan orang ramai untuk berurusan di kaunter-kaunter JPJ serta kemudahan perkhidmatan 24 jam," katanya.

Tambahnya, MOT akan terus komited dalam menggembleng usaha dan tenaga bagi memulihkan semula ekonomi negara serta memastikan kehidupan rakyat lebih sejahtera.

"Saya dan Kementerian Pengangkutan menyambut baik dan amat berterima kasih kepada kerajaan menerusi Kementerian Kewangan," katanya.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Mohd Fadiillah Yusof berkata, penekanan terhadap infrastruktur dan projek pembangunan yang diberikan kerajaan dalam Belanjawan 2021 hari ini dilihat akan membantu kelangsungan perniagaan dan seterusnya memberi ketahanan kepada ekonomi.

Jelasnya, perkara itu bersandarkan peruntukan memberangsangkan yang diterima kementeriannya dalam usaha untuk memastikan kesejahteraan rakyat diperkasa.

Fadillah bercakap pada sidang media selepas sesi pembentangan Belanjawan 2021 di Bangunan Parlimen hari ini.
 - Foto Bernama

"Dalam konteks (peruntukan Belanjawan 2021) infrastruktur saya juga hendak ucap terima kasih kepada kerajaan yang beri penekanan bertapa pentingnya infrastruktur ini atau projek pembangunan.

"Sebab ia bukan sahaja akan memberi sokongan kepada kesejahteraan rakyat yang dimatlamatkan tetapi ia juga akan membantu kelangsungan perniagaan dan juga membantu kelangsungan perniagaan seterusnya untuk memberi ketahanan kepada ekonomi," katanya pada sidang media selepas selesai pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menurutnya, secara keseluruhan kementerian yang diterajuinya itu menerima peruntukan sebanyak RM7.3 bilion untuk tahun depan.

Selain itu katanya, peruntukan khusus yang diterima untuk pembangunan Sabah dan Sarawak juga lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.

"Untuk itu, kita komited untuk memastikan bukan sahaja pembangunan tetapi juga menyelenggara jalan dalam keadaan baik demi kesejahteraan rakyat," katanya.