PARIT BUNTAR - Sebanyak 400 warga emas masyarakat Cina dari seluruh Parlimen Parit Buntar menerima sumbangan sempena Tahun Baharu Cina tahun ini.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Parit Buntar, Hairulnizam Ishak berkata, sumbangan disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf, Adun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim dan Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari.
Menurutnya, setiap penerima mendapat angpau dan barangan makanan yang diharap membolehkan golongan tersebut menyambut perayaan tersebut tidak lama lagi dengan lebih ceria.
"Sumbangan ini bertepatan dengan konsep peduli rakyat Kerajaan PH yang mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum," katanya kepada Sinar Harian di sini.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan Tahun Baru Cina anjuran Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar, Dun Titi Serong dan Dun Kuala Kurau di Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar, Pekan Baru di sini.
Turut hadir Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Adnan Abd Rahman, Pegawai Khas Ahli Parlimen Parit Buntar Hamdan Fadel Ahmad dan Pegawai Khas ADUN Titi Serong Chan Boon Seong
Majlis penyampaian sumbangan Tahun Baru Cina ini diadakan di empat kawasan komuniti masyarakat Cina di Pekan Parit Buntar, Kuala Bagan Tiang, Kuala Kurau dan Tanjung Piandang.
Hairulnizam berkata, dalam majlis itu, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar turut berkesempatan berucap dan menegaskan sumbangan diberikan bagi membolehkan mereka membuat persediaan untuk menyambut perayaan tersebut dengan meriah.
"Pada tahun ini, jumlah penerima bertambah sekali ganda kerana PH sudah menjadi kerajaan meskipun sewaktu kami menjadi pihak pembangkang sekalipun, bantuan tetap diberikan.
"Masyarakat di negara ini memahami dan bertoleransi antara semua kaum. Setiap kaum berhak merayakan hari-hari kebesaran kaum dan bangsa mereka," katanya.
Sementara itu, Hamdan Fadel menegaskan Tahun Baru Cina ini perlu dijadikan juga usaha pengukuhan bersama masyarakat di samping menunjukkan semangat muhibah dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain demi pembinaan sebuah masyarakat penyayang.
Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar, Dun Titi Serong dan Dun Kuala Kurau juga mengadakan penyampaian limau kepada masyarakat Cina di Pasar Parit Buntar, Kuala Bagan Tiang, Pekan Tanjung Piandang dan Pekan Kuala Kurau.