Belanjawan prihatin, inklusif, responsif dan mampan: Azmin

Iklan
Mohamed Azmin Ali ketika sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2021 - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berpendapat Belanjawan 2021 bertemakan 'Teguh Kita, Menang Bersama' merupakan belanjawan prihatin, inklusif, responsif dan mampan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia mencerminkan belanjawan yang amat bertanggungjawab dengan mengambil kira setiap keperluan rakyat Malaysia di pelbagai peringkat.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihaknya turut mengalu-alukan belanjawan 2021 dan menyifatkan ia sebagai belanjawan yang terbesar dalam sejarah.

"MITI menyambut baik peruntukan sejumlah RM1.206 bilion untuk 2021 dengan perbelanjaan mengurus sebanyak RM582.34 juta dan perbelanjaan pembangunan sejumlah RM623.89 juta.

Iklan

"Peruntukan ini akan dapat membantu MITI dan agensi-agensi di bawah kementerian ini untuk melaksana dan menjayakan strategi-strategi dan program-program di dalam sektor perdagangan, pelaburan dan industri yang telah dirancangkan bagi tahun 2021," katanya pada sidang akhbar selepas Pembentangan Belanjawan 2021 di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, pelaksanaan program-program di bawah kementerian itu juga menyokong pembangunan ekosistem ekonomi.

Iklan

Malah, katanya, ia turut mempercepatkan pemulihan ekonomi negara yang secara langsung akan meningkatkan aktiviti perniagaan dan industri, potensi pelaburan asing dan domestik serta melindungi dan menjana pekerjaan baharu khususnya bagi rakyat tempatan.

"Peruntukan tersebut adalah amat bertepatan dengan peranan utama MITI dalam membantu kerajaan memacu sektor ekonomi negara menerusi pembangunan industri, pelaburan dan perdagangan.

"Peruntukan ini sekali gus akan menyokong dan mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara dan pengukuhan daya saing industri khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi kelangsungan pekerjaan bagi rakyat," katanya.

Jelasnya, peruntukan diberikan kepada MITI juga selari dengan inisiatif-inisiatif kementerian itu dan 13 agensi-agensi di bawahnya dalam membantu pihak industri mendepani cabaran yang telah menjejaskan prestasi perniagaan mereka secara drastik.

"Selain itu, dalam proses pemulihan perniagaan, pihak industri berkaitan akan dapat mengoptimumkan aplikasi teknologi Industri 4.0 dalam normal baharu.

"Menerusi sesi libat urus yang telah dilaksanakan MITI bersama persatuan perdagangan dan industri, badan-badan profesional serta pihak industri, dapat disimpulkan bahawa cabaran utama yang mereka hadapi adalah dari segi kekangan dalam aliran tunai, kawalan pergerakan pekerja dan gangguan rantaian bekalan," katanya.

Justeru, beliau berkata, peruntukan yang diberikan kepada kementerian itu akan dapat dimanfaatkan dalam membantu meringankan beban-beban perniagaan pemain industri.