SABAK BERNAM - Empat lelaki yang terlibat dalam tiga kes pecah rumah sekitar daerah ini dicekup dalam 'Ops Pintu' di sini, 22 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, empat lelaki berusia lingkungan 22 hingga 32 tahun itu ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Sungai Apong, di sini, jam 5.20 petang.
Menurutnya, hasil risikan dan maklumat mengenai keempat-empat suspek terlibat, polis diketuai Inspektor Halvin Tsyuri bersama sepasukan anggotanya menyerbu lokasi terbabit.
"Tiga daripada empat suspek yang ditahan juga memiliki rekod jenayah dan narkotik lampau," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam, di sini, semalam.
Nor Azmi berkata, hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga mendapati mereka positif dadah.
Menurutnya, polis turut merampas beberapa barangan hasil curi antaranya, skrin monitor komputer, pembesar suara dan televisyen masing-masing satu unit, rantai emas, cincin serta resit pajak gadai.
Katanya, suspek dipercayai mula melakukan kegiatan itu pada 13 November tahun lalu di Kampung Sungai Apong.
Beliau memberitahu, suspek kemudian bertindak melakukan kegiatan sama di sebuah Taman Bimbingan Kanak-Kanak dan bilik inap desa pada 6 dan 13 Januari lalu.
"Semua suspek direman sejak 29 Januari lalu hingga hari ini untuk membantu siasatan.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.