KKM akan kembangkan sektor kesihatan awam, perawatan primer

Iklan
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba bercakap pada sidang media selepas sesi pembentangan Belanjawan 2021 di Bangunan Parlimen hari ini.
 -Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Peningkatan jumlah peruntukan yang diterima Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjadi landasan kuat bagi kementerian itu untuk membangun dan mengembangkan lagi perkhidmatan sektor kesihatan awam dan juga perawatan primer.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kedua-dua sektor perkhidmatan itu bukan sahaja penting dalam usaha untuk memerangi wabak koronavirus (Covid-19) tetapi turut menjadi kerangka kesihatan jangka panjang.

Iklan
Iklan

Jelasnya, ia bagi memastikan gaya hidup masyarakat normal baharu hari ini perlu menjadi amalan secara berterusan.

"Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada kerajaan yang meneruskan pembayaran elaun kepada petugas barisan hadapan sebanyak RM600 sebulan sehingga wabak akan tamat.

Iklan

"Kepada petugas barisan hadapan juga, kita ucap terima kasih kerana mereka masih berjuang dalam memastikan kita dapat bebas daripada Covid-19," katanya pada sidang akhbar sebaik selesai pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Adham berkata, secara keseluruhan sebanyak RM31.94 bilion diterima kementeriannya berbanding RM30.60 pada tahun lalu.

Iklan

Selain itu, Adham turut menzahirkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan terhadap isu kesihatan mental dengan menyediakan peruntukan khusus sebanyak RM24 juta.