SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerima peruntukkan berjumlah RM10.19 bilion meliputi RM3.53 bilion untuk pengurusan dan RM6.65 bilion bagi pembangunan dalam Belanjawan 2021 yang diumumkan di Dewan Rakyat hari ini.
Menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, jumlah tersebut adalah lebih tinggi sebanyak RM431 juta iaitu 4.42 peratus berbanding dalam Belanjawan 2020.
Beliau berkata, menerusi peruntukan itu, lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan di kawasan luar bandar bagi menyokong pembangunan sosioekonomi yang digariskan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030.
"Sejumlah RM2.32 bilion bagi pembangunan infrastruktur asas di luar bandar seperti bekalan elektrik, air dan jalan terutama untuk Sabah dan Sarawak. Jumlah ini adalah RM169.3 juta atau 7.8 peratus lebih tinggi jika dibandingkan dengan peruntukkan tahun 2020.
"Dalam usaha untuk merancakkan aktiviti ekonomi di luar bandar, sebanyak RM90.6 juta telah diperuntukkan untuk program-program pembangunan ekonomi dan program keusahawanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Abd Latiff berkata, bagi program meningkatkan taraf sosioekonomi golongan miskin, miskin tegar dan kumpulan B40 luar bandar, sebanyak RM375 juta telah diperuntukkan di bawah Program Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR).
Selain itu, katanya, program lain yang akan dilaksanakan seperti Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) dan Program Peningkatan Pendapatan (PPP).
"Untuk tahun 2021, sebanyak RM2 bilion telah diperuntukkan untuk Program Penajaan Pendidikan Mara yang akan memberi manfaat kepada 50,000 pelajar termasuk 21,000 pelajar baharu.
"Pembangunan orang asli tidak akan dipinggirkan di mana RM236.2 juta telah diperuntukkan meliputi program pembangunan infrastruktur, ekonomi dan modal insan serta pengukuran tanah bagi penandaan sempadan untuk memperkasa komuniti orang asli,” ujarnya.
Abd Latiff berkata, KPLB juga menyambut baik peruntukan sebanyak RM410.8 juta untuk Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan RM482.1 juta bagi Felcra.
Mengenai pendidikan awal kanak-kanak, katanya, Program Geran Per Kapita dan Bantuan Makanan Tambahan serta penyelenggaraan dan pembaikan tabika serta taska Kemas dan akan diteruskan pada tahun depan dengan peruntukan RM169.5 juta.
"KPLB akan memastikan supaya peruntukan yang disediakan ini akan dibelanjakan dengan sebaik-baiknya untuk kesejahteraan penduduk luar bandar,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula menyifatkan Belanjawan 2021 yang dibentangkan hari ini mengambil kira golongan sasar terutamanya kebajikan kelompok rentan.
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, perkara itu dapat dilihat melalui tiga matlamat utama yang berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat itu.
Selain itu katanya, belanjawan itu juga mencerminkan mesra wanita melalui pelbagai penambahbaikan bantuan yang diberikan.
"Antaranya ialah bantuan penjagaan orang kurang upaya (OKU) pesakit kronik terlantar yang sekarang ini kadar sedia ada adalah RM300 (tetapi) telah dinaikkan kepada RM500.
"Begitu juga untuk bantuan OKU tidak berupaya bekerja di mana kadar sedia ada adalah sebanyak RM250 sebulan telah dinaikkan kepada RM300 sebulan.
"Selain itu, elaun pekerja cacat. Buat masa sekarang ini elaun pekerja cacat adalah RM400 telah dinaikkan kepada RM450," katanya pada sidang akhbar sebaik selesai pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Katanya, dengan penambahbaikan bantuan itu diharap mampu membantu lebih ramai masyarakat khususnya mereka yang berpendapatan rendah dalam mengharungi zaman mencabar ini.