BENTONG - Dua penunggang maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Kilometer (KM) 77.2 Lebuhraya Karak menghala Kuala Lumpur di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusof Unis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.55 tengah hari itu, mangsa, Bernadus Maran, 53, yang merupakan seorang tukang kebun berasal dari Indonesia menunggang motosikal jenis Yamaha Y110 meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, seorang lagi mangsa yang menunggang motosikal jenis Ducati Panigale, Kamaruddin Alias, 41, beralamat Taman Permit Indah, Dungun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan (KK) Karak.
"Dalam kejadian ini mendapati motosikal yang ditunggang Kamaruddin dari Terengganu menuju ke Bentong.
"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal Yamaha Y110 yang ditunggang lelaki Indonesia terbabit yang berada di hadapan dipercayai telah mengubah laluan ke kanan menyebabkan motosikal Ducati itu tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi kanan Yamaha tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan lelaki Indonesia terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang Ducati itu disahkan meninggal dunia di KK Karak semasa menerima rawatan.
Katanya, mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.
"Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," jelasnya.