KEMENANGAN besar yang diperoleh oleh Presiden Tanzania, John Magufuli dalam pilihan raya Presiden tidak dapat diterima oleh parti-parti pembangkang dan para diplomat Barat di negara itu.
Ia sekali gus memberi tamparan hebat terhadap sistem demokrasi di negara tersebut kerana menurut mereka, pilihan raya itu telah dicemari dengan penipuan.
Dalam pilihan raya yang diadakan pada Jumaat lalu itu, Magufuli menang dengan 84 peratus undi dan ia merupakan kemenangan terbesar sejak pilihan raya pelbagai parti diadakan pada tahun 1995.
Sebelum pengundian, ia dipercayai oleh sejumlah kecil pihak akan diadakan dengan adil dan bebas selepas Tanzania condong ke arah pemerintahan autokrat semasa penggal pertama pemerintahan Presiden itu.
Pada penggal pertama pemerintahan Magufuli, beliau telah menangkap sejumlah anggota pembangkang dan mengharamkan perhimpunan politik selain menekan kebebasan suara akhbar.
Bagaimanapun, beberapa pemerhati berasa terkejut dengan apa yang mereka saksikan hasil daripada keputusan pilihan raya tersebut.
Menurut mereka, kemenangan besar itu adalah salah satu percubaan untuk menghapuskan kewujudan pembangkang di negara berkenaan.
"Tidak ada pilihan raya di mana-mana di dunia ini yang sempurna tetapi ini (keputusan pilihan raya) terlalu jelas. Mereka (pemerintah) memutuskan untuk
mengambil semua kuasa dan mereka melakukan dengan cara yang jelas sekali," kata seorang diplomat Barat yang enggan namanya didedahkan.
"Demokrasi di Tanzania kini berada dalam keadaan amat berbahaya," ujarnya.
Dalam pada itu parti pemerintah Tanzania, Chama Cha Mapinduzi (CCM) memenangi 97 peratus daripada 264 kerusi di Parlimen manakala ahli-ahli parti pembangkang yang popular pula hilang kerusi mereka.
"Saya menjangkakan pembangkang akan mengambil hampir separuh kerusi Parlimen kali ini tetapi apa yang telah berlaku adalah sesuatu yang pelik. Kita hampir kembali
kepada sistem satu parti," kata pensyarah kanan sains politik, Profesor Gaudence Mpangala dari Universiti Katholik Ruaha di selatan Tanzania.
Seorang peniaga buah-buahan di Dar es Salaam yang enggan namanya dikenali berkata, beliau percaya terdapat agenda di sebalik kemenangan besar itu.
"Saya berpendapat Magufuli akan mengubah Perlembagaan untuk terus kekal berkuasa dan cara paling mudah adalah dengan mempunyai semua ahli Parlimen daripada partinya," tambahnya.
Semasa kempen pilihan raya itu, gas pemedih mata digunakan dalam perhimpunan parti-parti pembangkang.
Calon Presiden daripada parti pembangkang, Tundu Lissu pula hanya memperoleh 13 peratus daripada undi dalam pilihan raya itu.
Beliau sebelum ini pernah dilarang daripada berkempen selama tujuh hari kerana menggunakan bahasa yang dianggap menghasut rakyat.
Kebanyakan media asing pula dilarang beroperasi di negara itu.
Seorang diplomat Barat menyatakan sejumlah kecil pemantau yang dihantar dari kedutaan Tanzania telah menjadi saksi berlakunya penipuan undi, ejen-ejen pusat
pengundian dihalang pergi ke pusat pengundian dan pegawai-pegawai keselamatan mengundi beberapa kali.
Aplikasi WhatsApp dan Twitter juga dihalang selama hampir seminggu ketika pilihan raya itu berlangsung.
Magufuli, 61, yang terkenal dengan pendirian antirasuahnya pertama kali dipilih menjadi Presiden pada tahun 2015 dan mengambil pendekatan popular seperti
menghapuskan sambutan hari kemerdekaan yang terlalu mewah dan mengharamkan lawatan yang tidak diperlukan oleh pegawai-pegawai Tanzania ke luar negara.
Beliau yang juga anggota parti CCM yang telah berkuasa sejak merdeka dari Britain pada awal tahun 1960an.
Sebagai anggota Parlimen sejak tahun 1995 dan menerima ijazah kedoktoran dalam bidang kimia dari Universiti Dar es Salaam, beliau pernah belajar di Universiti
Salford, Britain.
Dikenali dengan nama jolokan jentolak, beliau yang sudah berkahwin dan memiliki lima orang anak pernah memegang pelbagai portfolio dalam Kabinet antaranya ternakan, perikanan dan kerja raya.
Semasa memegang portfolio kerja raya, beliau telah mendapat nama jolokan itu.
Tanzania ialah sebuah negara yang aman dan pertumbuhan ekonominya secara purata sebanyak enam peratus setahun sebelum pandemik koronavirus (covid-19) dan menjadi destinasi pelancong utama di Afrika.
Pihak pembangkang yang kalah dalam pilihan raya itu pernah mendesak satu tunjuk perasaan diadakan pada Isnin lalu sehingga menyebabkan kawalan keselamatan ketat diadakan dan penangkapan beberapa pemimpin pembangkang.
"Jika mereka (pemerintah) berpendapat ramai orang menyokong pemenang (Magufuli), kenapakah mereka (pemerintah) perlu menggunakan polis untuk menekan dan mengancam penduduk yang merancang protes aman?," soal seorang penduduk Buguruni di Dar es Salaam. - AFP