Peruntukan RM28 juta bakal bantu pelaksanaan program Inspire

Iklan
Peruntukan berjumlah RM28 juta yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2021 semalam dilihat bakal membantu pelaksanaan program Inspire terutama untuk komuniti orang kurang upaya (OKU) di negara ini. Gambar kecil:Megat D Shahriman

PERUNTUKAN berjumlah RM28 juta yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2021 semalam dilihat bakal membantu pelaksanaan program Inspire terutama untuk komuniti orang kurang upaya (OKU) di negara ini.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, peruntukan berkenaan diharap dapat membantu MPM mencari serta mencungkil bakat-bakat baharu bagi sukan para pada masa hadapan.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan pembentangan bajet 2020 saya dan MPM sangat bangga dan terharu kerana kerajaan Malaysia meluluskan program Inspire untuk komuniti OKU sebanyak 28 juta yang akan diberikan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Saya berharap dengan program ini kita dapat mencari bakat-bakat sukan para daripada golongan OKU pada masa akan datang sekali gus kita akan turut membantu pihak KBS dan Majlis Sukan Negara (MKN) dalam perkara berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan media malam tadi.

Iklan

Program Inspire bertujuan mencari bakat-bakat baharu daripada golongan OKU berpotensi sebagai pelapis kepada atlet OKU sedia ada untuk digilap bakat masing-masing sehingga mampu untuk diketengahkan hingga ke peringkat tertinggi dalam Sukan Paralimpik.

Terdahulu pada pembentangan Belanjawan 2021 diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam, kerajaan akan memperuntukkan RM19 juta bagi melaksanakan Agenda Nasional Malaysia Sihat bertujuan memantapkan amalan gaya hidup sihat demi mengurangkan risiko menghidapi penyakit diabetes, hipertensi dan obesiti selain sebanyak RM28 juta juga disediakan bagi melaksanakan program MyFit, Hari Sukan Negara dan Program Inspire bagi komuniti OKU.

Iklan

Selain itu, sejumlah RM103 juta juga disediakan untuk membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan seluruh negara.

Megat D Shahriman turut berharap supaya KBS dapat memanfaatkan peruntukan sebanyak RM103 juta yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2021 bagi mewujudkan Pusat Kecemerlangan OKU atau Pusat Kecemerlangan Sukan Para.

"Diharapkan peruntukan ini dapat dibawa ke setiap negeri bagi tujuan merealisasikan kewujudan pusat kecemerlangan itu.

"Kita boleh mula dan realisasikan perkara ini pada masa akan datang kerana dengan adanya pusat ini, program Inspire ini boleh kita gabungkan bersama dan kita akan dapat lebih ramai bakat serta atlet berbakat pada masa akan datang dalam memajukan sukan para negara,” katanya.