SHAH ALAM - Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Negara yang berlangsung di Dewan Negara semalam adalah belanjawan paling mencabar dan memperuntukkan jumlah terbesar dalam sejarah negara.
Profesor Madya di Institut Kewangan dan Perbankan Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Aznan Hasan berkata, belanjawan itu adalah belanjawan pengembangan dan bersifat ‘reactionary’ dalam ekonomi kerana ia bukan dalam suasana biasa.
"Belanjawan biasa ialah belanjawan berbentuk progresif iaitu kita melihat apa yang kita akan buat pada masa akan datang serta suasana ekonomi berlaku macam biasa.
"Masalah yang dihadapi sekarang ialah ‘unprecedented crisis’ atau krisis yang belum pernah terjadi sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selaku panelis Wacana Al Quran Siri 15 yang merupakan Edisi Khas Belanjawan 2021: Pertaruhan Harapan Rakyat yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian semalam.
Bergandingan bersama beliau sebagai panelis, Penganalisis Ekonomi, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr Rusmawati Said manakala Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail sebagai moderator dan qari, Tirmizi Ali yang mengalunkan bacaan Surah Yusuf.
Menurutnya, Belanjawan 2021 menyebut tiga perkara, matlamat asas dalam Belanjawan 2021 ialah kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.
"Menerusi ‘delivery economy’, setiap insentif yang diberikan perlu dipastikan diterima golongan yang disasarkan.
"Kerajaan perlu memastikan bahawa mekanisme itu boleh sampai kepada mereka, sama ada dalam bentuk pendaftaran Prihatin atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau mana-mana medium pendaftaran.
"Kita kena pastikan golongan yang disasar menerima insentif supaya ianya tidak cantik hanya di atas kertas sahaja, itu cabaran juga,” katanya.
Katanya, jika kita bercakap mengenai ekonomi, salah satu istilah ekonomi Islam yang tidak ada pada ekonomi lain ialah istilah berkat atau barakah.
"Teori ekonomi Islam tidak ada istilah ini. Dalam keadaan kita berhadapan dengan ekonomi sekarang ini, pada saya tepat pada masanya kerajaan mengambil solusi daripada ekonomi Islam.
"Bukan hanya melihat mengikut ekonomi barat, tetapi inilah masanya kita lihat solusi ekonomi Islam. Kalau kita buka sejarah ekonomi Islam, secara umumnya, ekonomi Islam ini mampu untuk menampung segala lapisan manusia,” katanya.
Nor Aznan berkata, ekonomi Islam bukan sekadar nilai, ia adalah satu sistem yang di dalamnya mempunyai makro dan mikro.
"Kalau kita melihat ekonomi Islam dari aspek makro, kita tidak akan berjaya. Untuk menjayakan ekonomi Islam, kita perlu melihat dari segi makro, polisi fiskal dan kewangan serta ‘treatment’ kepada individu dan masyarakat, negara kesemuanya mesti dirangkumkan.
"Dengan keadaan ekonomi yang memerlukan perkara baharu ini, inilah masanya negara Malaysia, pakar ekonomi yang ada, kementerian kewangan dan ekonomi dan mereka yang berkaitan untuk melihat kembali sistem makro dan mikro yang ada. Kita perlu melihat polisi kewangan daripada sisi yang berbeza,” katanya.