Belanjawan 2021 galak B40, M40 beli rumah: REHDA

Iklan

KUALA LUMPUR - Pembentangan Belanjawan 2021 yang menggalakkan pemilikan rumah pertama akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia yang merasa sukar untuk memiliki rumah, terutamanya mereka yang berada dalam kumpulan B40 dan M40.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Ir Soam Heng Choon berkata, REHDA menyambut baik langkah itu sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan yang akan mendorong rakyat untuk mengambil langkah pertama bagi memiliki rumah.

Iklan
Iklan

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa membentangkan Bajet 2021 di Dewan Rakyat semalam berkata, kerajaan mengambil langkah untuk mengecualikan duti setem sepenuhnya ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian kediaman pertama bernilai sehingga RM500,000.

"Pengecualian ini adalah untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2025," kata Tengku Zafrul.

Iklan

REHDA turut memuji langkah kerajaan dalam belanjawan kali ini yang membuat pengecualian duti setem pada Memorandum Pindahan dan Perjanjian Pinjaman bagi kontraktor 'penyelamat' dan pembeli asal projek hartanah terbengkalai dalam tempoh sama.

"Inisiatif ini akan memberi ketenangan kepada pembeli yang telah terjejas teruk apabila projek unit hartanah yang dibeli terbengkalai. Langkah ini juga diharap dapat mendorong lebih banyak kontraktor untuk menyelamatkan unit-unit ini sekali gus merealisasikan impian pembeli rumah pertama," katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Berkongsi pendapat sama, Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Lim Boon Ping berkata berbanding Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diperkenalkan kerajaan Jun lepas, belanjawan kali ini dilihat lebih banyak mengutamakan pembeli rumah pertama.

"Kami berharap kerajaan akan memperluas insentif kepada pasaran hartanah sekunder dan bukan sahaja mengutamakan pembeli rumah pasaran utama.

"Benar, kerajaan ada menyatakan pengecualian duti setem sehingga RM500,000 bagi pemilikan unit rumah pertama tetapi tidak diperincikan sama ada ia terpakai untuk pasaran hartanah sekunder juga," kata Boon Ping yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang jual beli hartanah.

Sementara itu, Perunding Hartanah daripada Transasia Property Consultancy Sdn Bhd, Muhamad Rais Yeop Johari berkata, usaha kerajaan ini akan merancakkan kembali pasaran hartanah domestik selain dapat mengurangkan lambakan hartanah yang tidak dapat dijual pemaju tahun ini ekoran pandemik koronavirus (Covid-19).

"Peruntukan dana RM1.2 bilion juga dapat menjamin lebih ramai kumpulan di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk memiliki kediaman sendiri," ujarnya.- Bernama