98 individu masih positif Covid-19 di Kuala Langat

Iklan
Petugas keselamatan membuat kawalan di lokasi PKPD di Flat Sungai Emas dan Taman Sungai Emas, Banting.

KUALA LANGAT - Seramai 98 individu masih disahkan positif koronavirus (Covid-19) di daerah ini setakat semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, berdasarkan pecahan, mukim Telok Panglima Garang merekodkan lapan kes positif, mukim Tanjung 12(1) membabitkan 39 kes dan mukim Tanjung 12 (2) dengan 44 kes.

Iklan
Iklan

Katanya, selebihnya adalah mukim Jugra dengan satu kes manakala mukim Morib dan mukim Bandar masing-masing tiga kes.

"Bagaimanapun, bagi lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Bersasar di Flat Sungai Emas dan Taman Sungai Emas, sebelum ini seramai 43 orang didapati positif sebelum dirawat di hospital untuk tindakan lanjut.

Iklan

"Setakat semalam, kesemua mereka yang dijangkiti itu telah dibenarkan discaj setelah disahkan negatif. Tiada lagi kes positif direkod setakat ini di lokasi PKPD ini," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi PKPD hari ini.

Kawalan ketat di lokasi PKPD di Flat Sungai Emas dan Taman Sungai Emas, Banting.

Tambahnya, seramai 1,025 saringan telah dilaksanakan di kawasan terbabit.

Iklan

Mengulas lanjut, berkenaan 67 rumah yang didapati kosong di lokasi PKPD, Azizan menjelaskan, ada dalam kalangan penghuni telah pulang untuk ujian saringan Covid-19 dan disahkan negatif.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, punca tindakan penghuni terbabit meninggalkan rumah adalah disebabkan musim cuti sekolah, ada yang hilang pekerjaan dan pulang ke kampung selain rumah kosong tersebut sememangnya tidak berpenghuni.

"Justeru, dinasihatkan agar mereka yang masih belum pulang untuk segera tampil melakukan saringan," katanya.

Tegasnya, masyarakat khususnya di daerah Kuala Langat diingatkan agar sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP) untuk bersama-sama memutuskan rangkaian Covid-19.