PDRM hargai peruntukan RM17 bilion untuk sektor pertahanan

Iklan
Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan penghargaan terhadap peruntukan RM17 bilion kerajaan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi sektor pertahanan negara dan ketenteraman awam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam kenyataan sebagai reaksi kepada pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat semalam berkata, agihannya akan dimanfaatkan sepenuhnya demi memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Iklan
Iklan

Selain itu menurutnya pemberian RM500 secara one-off kepada 40,000 pesara polis yang menerima Pingat Jasa Pahlawan juga adalah satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan kepada pengorbanan dan bakti mereka selama ini.

"Sehubungan itu, peruntukan RM20 juta bagi tujuan memperkasakan program perlindungan dan rondaan biodiversiti yang melibatkan pengambilan lebih 500 bekas polis, tentera dan orang asli membuktikan kerajaan komited dalam usaha pemuliharaan alam sekitar serta memelihara khazanah negara,” katanya.

Iklan

Abdul Hamid berkata, PDRM akan memastikan peruntukan yang diberikan kerajaan dalam belanjawan berkenaan dioptimumkan demi kemashalatan rakyat dan kesejahteraan negara.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, peruntukan RM27 juta untuk Cyber Security yang dibentang dalam belanjawan itu merupakan satu pengiktirafan jelas, yang menunjukkan kerajaan komited dalam usaha menangani serta mencegah ancaman jenayah siber.

Iklan

Beliau berkata, pada masa sama ia adalah bagi memastikan wujudnya prasarana keselamatan siber yang selamat lagi kondusif di Malaysia.

Berdasarkan statistik insiden keselamatan siber Pusat Bantuan Cyber999 (kendalian Cyber Security Malaysia) sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 9,042 laporan dibuat berbanding 8,770 tahun lepas dengan peningkatan sebanyak 3.1 peratus.

"Tiga insiden tertinggi yang dilaporkan adalah penipuan (fraud), pencerobohan (intrusion) dan kod berbahaya (malicious code)," katanya.

"Justeru, peruntukan ini akan menyokong usaha serta inisiatif pembangunan program keselamatan siber antaranya program kesedaran keselamatan siber, pembangunan kapasiti dan teknologi serta infrastuktur keselamatan siber bagi tujuan menangani ancaman serta jenayah siber," jelasnya.

Semalam, Tengku Zafrul dalam pembentangan Belanjawan 2021 mengumumkan Cyber Security diperuntukkan RM27 juta untuk meningkatkan kawalan keselamatan siber negara. - Bernama