Harga RON95, RON97 turun 5 sen, diesel kekal

Iklan

PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan harga runcit bagi petrol RON97 dan RON95 turun sebanyak lima sen bagi tempoh 2 Februari hingga 8 Februari 2019.

Begitupun, dalam kenyataan dikeluarkan kementerian, Guan Eng menyatakan harga runcit diesel kekal pada paras RM2.18 seliter.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petroleum bagi tempoh 2 Februari 2019 sehingga 8 Februari 2019 adalah ditetapkan seperti berikut.

"Harga runcit petrol RON97 turun sebanyak lima sen seliter iaitu daripada RM2.28 seliter kepada RM2.23 seliter.

Iklan

"Harga runcit petrol RON95 turun sebanyak lima sen seliter iaitu daripada RM1.98 seliter kepada RM1.93 seliter dan harga runcit diesel kekal pada paras RM2.18 seliter,” katanya.

Tambah Guan Eng, perubahan harga runcit petrol RON95 adalah berikutan penurunan harga produk petroleum yang diproses di pasaran dunia, didorong oleh faktor peningkatan pengeluaran produk petrol dalam pasaran global.

Iklan

"Perbezaan kos produk yang lebih tinggi bagi diesel berbanding petrol adalah disebabkan peningkatan permintaan bagi produk diesel terutamanya dari negara China dan juga disebabkan peningkatan pengeluaran produk petrol di pasaran global.

"Kerajaan akan terus komited untuk meneruskan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum dan pada masa yang sama melaksanakan penetapan harga yang memanfaatkan rakyat,” ujarnya.

Menurutnya, penstabilan itu bermakna harga runcit petroleum dikurangkan apabila harga pasaran menurun bagi membolehkan pengguna menikmati manfaat penurunan harga minyak dengan segera.

"Begitupun, sekiranya harga pasaran produk melebihi paras harga ditetapkan, kerajaan akan menstabilkan harga jualan runcit bagi produk petrol RON95 dan diesel dengan mengekalkan harga jualan runcit masing-masing pada paras RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter,” katanya.

Infografik FWOD Sinar Harian