SHAH ALAM - Institusi perbankan Islam sedia melaksanakan bantuan pembayaran bersasar melalui proses lebih mudah.
Presiden Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Datuk Adissadikin Ali dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan terdapat dua pilihan untuk pelanggan memohon bantuan pembayaran bersasar iaitu menangguhkan ansuran bulanan selama tiga bulan atau mengurangkan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan.
"Bantuan ini akan disediakan bagi pembiayaan kemudahan yang diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 dan tidak tertunggak melebihi 90 hari pada tarikh permohonan bantuan dibuat.
"Bagi kedua-dua golongan ini, pelanggan hanya perlu menghubungi bank untuk mengesahkan pilihan mereka dan tiada dokumentasi tambahan yang perlu disediakan,” katanya.
Menurutnya, penambahbaikan bantuan pembayaran bersasar ini turut diberikan kepada pelanggan dari kumpulan M40 yang berdaftar dalam pangkalan data Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
Katanya, pelanggan hanya perlu membuat pengisytiharan kendiri tentang pengurangan pendapatan mereka dan isi rumah mereka akibat pandemik Covid-19 untuk mendapatkan bantuan pengurangan ansuran bulanan.
Adissadikin yang juga Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank bagaimanapun berkata, bagi pembiayaan berkadar tetap, pelanggan institusi perbankan Islam masih perlu menandatangani kontrak baharu menurut keperluan syariah.
"Pelanggan dinasihatkan agar membuat pertimbangan yang teliti sebelum memuktamadkan pilihan. Bagi memastikan para pelanggan yang terkesan dapat merancang kewangan dengan lebih teratur mengikut situasi kewangan masing-masing," katanya.
Pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam mengumumkan penambahbaikan dalam bantuan pembayaran bersasar khususnya kepada individu B40 yang merupakan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan bakal penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta kepada perusahaan mikro dengan jumlah pembiayaan yang diluluskan sehingga RM150,000.
Belanjawan semalam turut mengumumkan gabungan pembiayaan sosial dan pembiayaan mikro melalui program iTEKAD akan dapat memperkasakan usahawan mikro dari segmen B40 untuk menjana pendapatan lestari melalui lebih banyak penyertaan daripada institusi perbankan Islam.
Sementara itu, menurut Ahli Majlis AIBIM yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Muazzam Mohamed, perlaksanaan program iTEKAD seperti yang dibentangkan dalam belanjawan semalam membolehkan institusi perbankan Islam memainkan peranan dalam menyediakan bantuan kewangan kepada segmen paling terkesan yang terdiri daripada individu B40 dan perusahaan mikro.
"Bank-bank ahli AIBIM bersedia dan memberi sepenuh keyakinan kepada para pelanggan bahawa bantuan adalah tersedia untuk pelanggan yang terkesan dengan proses yang lebih mudah.
"Pelanggan institusi perbankan Islam boleh menghubungi pihak bank masing-masing untuk membuat permohonan bantuan pembayaran bersasar bermula 23 November 2020 sehingga 30 Jun 2021," katanya.